Klopp sedang persiapkan skuad masa hadapan Liverpool?
Pengurus Liverpool, Jurgen lopp baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak yang bakal mengekalkannya di Anfield sehingga musim panas 2026.
Namun, perkara berbeza buat bintang-bintang The Reds yang masa depan mereka masih tergantung, terutama pemain-pemain di bahagian serangan seperti Sadio Mane, Takumi Minamino, Roberto Firmino dan Mohamed Salah.
Pemain Belgium, Divock Origi sudah pasti akan meninggalkan Liverpool hujung musim ini dan ia menandakan Liverpool bakal kehilangan seorang back-up yang boleh diharap.
Selain itu, kontrak penyerang Brazil, Firmino juga akan tamat tahun depan dan setakat ini belum ada laporan sama ada khidmatnya akan disambung atau tidak.
Sekiranya Firmino juga meninggalkan kelab itu, Liverpool akan kehilangan dua penyerang tengah.
Sementara itu, jika kedua-dua Minamino dan Mane meninggalkan Anfield, Liverpool hanya mempunyai Diaz sebagai pemain sayap di bahagian kiri.
Mane ada memberitahu media bahawa beliau akan memikirkan mengenai lanjutan kontrak selepas perlawanan UEFA Champions League menentang Real Madrid awal pagi Ahad.
Minamino juga mengatakan bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas perlawanan itu.
Dalam kes Salah pula, walaupun beliau memberitahu akan kekal di Anfield musim depan, beliau masih berteka-teki mengenai lanjutan kontrak yang masih belum mencapai kata putus sejak sekian lama.
Bagi penyokong setia Liverpool, walaupun banyak nama-nama yang dikhabarkan bakal meninggalkan kelab itu, mereka tidak panik dan tetap mempercayai perancangan pengurus Jerman itu.
Ini kerana, Klopp semestinya mempunyai perancangan tersendiri dan kemungkinan akan melakukan revamp terhadap pasukan sekarang kerana terdapat pemain yang sudah mencecah usia 30an seperti Salah, Firmino dan Mane.
Selepas melanjutkan kontrak selama empat tahun, beliau pastinya mahu menyediakan skuad untuk masa hadapan, terutama untuk bersaing dengan Manchester City yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi.
Di bawah Klopp, Liverpool dikenali sebagai sebuah pasukan yang membeli pemain-pemain yang kurang ternama kemudian dijadikan bintang.
Sejak Klopp mengambil alih Liverpool pada 2015, boleh dikatakan semua pembelian yang dilakukan olehnya menjadi.
Pemain-pemain seperti Diogo Jota, Luis Diaz, Ibrahima Konate dan Minamino dibawa daripada kelab yang lebih kecil, seterusnya berjaya menyerlah di Anfield.
Mungkin juga Klopp bakal membawa beberapa nama daripada akademi untuk diangkat menjadi bintang seperti yang dilakukannya.
Pemain-pemain seperti Trent Alexander-Arnold, Rhys Williams dan Curtis Jones yang diberi kepercayaan untuk menyarung jersi pasukan senior telah berjaya menyerlah di bawah bimbingan Klopp.
Apa yang pasti, sejak ketibaan Klopp, Liverpool telah berubah daripada sebuah pasukan yang tempoh kegemilangannya sudah berakhir kepada salah satu pasukan paling digeruni di dunia.
Tidak sabar untuk melihat apa yang sudah dirancang oleh Klopp untuk musim depan.