Liga Super semakin bosan dan tak ‘rancak’ lagi

249

Tidak dapat dinafikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini Liga Malaysia terutamanya Liga Super yang dilihat semakin membosankan dan tidak rancak lagi.

Jika dahulu setiap kali sahaja musim Liga Malaysia bakal membuka tirai ramai peminat teruja dan tidak sabar untuk melihat pasukan manakah yang bakal menjuarai Liga Super edisi pada tahun tersebut, namun kini peminat tidak lagi mengendahkan siapa yang bakal juara sebaliknya mahu melihat pasukan merebut kedudukan kedua dan ketiga.


Perkara ini berlaku selepas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menguasai Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut menyebabkan tiada lagi situasi cemas di penghujung musim untuk melihat persaingan pasukan untuk mengangkat trofi Liga Super.

Sumber foto: MFL Facebook

Walaupun peminat sudah bosan dengan Liga Super, namun untuk saingan Piala FA dan Piala Malaysia lain pula auranya yang mana ia agak terbuka dan setiap pasukan mempunyai peluang yang agak seimbang.

Untuk musim hadapan, sebanyak 12 pasukan telah disahkan akan bertanding untuk saingan Liga Super 2022 iaitu Johor Darul Ta’azim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC, Melaka United FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, KL City FC, Sabah FC, Penang FC dan PJ City FC.

Sumber foto: Perak FC Facebook

Perak FC dan UiTM FC yang bersaing pada musim 2021 tersingkir ke Liga Perdana selepas menduduki tangga tercorot Liga Super. Manakala juara dan naik juara Liga Perdana iaitu Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC akan bersaing di Liga Super 2022.

Walaupun usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menswastakan pasukan di Liga Malaysia berjaya, namun ia masih lagi tidak menyelesaikan masalah yang membelenggu banyak pasukan iaitu masalah tunggakan gaji pemain.

Isu gaji yang seperti tiada kesudahan ini dijangka akan terus merencatkan kelangsungan Liga Malaysia sekaligus akan menjejaskan kualiti liga.

Selain masalah gaji, antara masalah yang sering terjadi kepada pasukan yang bersaing adalah masalah pihak pengurusan termasuklah masih ada campur tangan orang politik dalam sukan bola sepak yang akan menjahanam sukan rakyat.

Liga Super 2022 sudah menyaksikan beberapa perubahan besar berlaku antaranya pasukan Pulau Pinang yang sebahagian besar pemain utama pasukan Harimau Kumbang itu meninggalkan pasukan itu selepas melakar kejayaan menduduki tempat ketiga Liga Super 2021. Prestasi menakjubkan skuad kendalian Tomas Trucha merosot teruk ketika saingan TM Piala Malaysia dan ia dikatakan berpunca daripada masalah pengurusan dengan jurulatih.

Antara pasukan lain yang terpalit dengan masalah tunggakan gaji sebelum ini iaitu Melaka United FC dan Kedah Darul Aman FC turut menyaksikan berlakunya rombakan pemain untuk saingan musim hadapan.

Sumber foto: Sabah FC Facebook

Presiden Kedah, Datuk Seri Muhmmad Sanusi Md Nor tidak ralat dengan pemergian beberapa pemain utama kerana berkata ia membantu pasukan mengurangkan bajet untuk musim hadapan. Namun persoalan yang timbul di kalangan peminat Hijau Kuning adalah sekiranya tidak berbelanja untuk mendapatkan pemain berkualiti, bagaimana hendak bersaing di Piala AFC tahun depan.

Paling mengejutkan ramai adalah dua pemain paling lama setia bersama Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan Sabah FC. Sesuatu yang menarik untuk melihat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada musim hadapan berikutan Sabah menandatangani banyak pemain berpengalaman sekaligus menjadikan Sabah FC pasukan yang mampu memberi saingan sengit buat pasukan lain.

Sumber foto: Sabah FC Facebook

Juara bertahan JDT menerusi pemiliknya Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga akan melakukan rombakan selepas pasukannya tewas kepada KL City FC pada perlawanan akhir TM Piala Malaysia baru-baru ini.

Setiap pasukan kini sedang rancak menandatangani pemain-pemain baru selain banyak khabar angin mengenai perpindahan pemain ketika ini sedikit sebanyak membuatkan peminat setiap pasukan teruja untuk melihat pemain terbaik menyertai pasukan kegemaran mereka.

Selain itu, pihak FAM juga perlu pantas menangani kualiti mutu pengadilan yang sering mendapat kritikan hebat daripada peminat terutamanya apabila membabitkan perlawanan tumpuan melibatkan pasukan besar Liga Malaysia.

Sumber foto: MFL Facebook

Memandangkan FAM tidak mempunyai bajet untuk memperkenalkan teknologi VAR (video assistant referee), jadi mereka perlu mempersiapkan pengadil yang berkualiti untuk setiap perlawanan agar tidak timbul lagi isu keputusan pengadil yang diragui.

Akhirnya berbalik kepada persoalan yang sama akan timbul setiap tahun iaitu adakah kita akan menyaksikan saingan Liga Super 2022 sama seperti 2021 atau akan lebih menarik? Sama-sama kita tunggu dan lihat.