Pasukan Brunei ingin setanding dengan negara Asia Tenggara yang lain
Jurulatih pasukan kebangsaan Brunei, Rosanan Samak memasang impian agar pasukannya dapat meningkatkan prestasi dan mampu bersaing dengan pasukan-pasukan besar di rantau Asia Tenggara.
“Kita sedang membuat perancangan untuk membawa pasukan Brunei sehingga menjadi tandingan bersama pasukan Asia Tenggara yang lain.
Sebenarnya setelah selepas Datuk K. Rajagopal meninggalkan pasukan semasa COVID-19, pemain belum lagi ada latihan disebabkan SOP Kementerian Kesihatan, jadi saya tidak tahu macam mana keadaannya,”
katanya kepada Harimau Malaya
Menurut Rosanan, ketika ini beliau belum dapat mengulas dengan lebih lanjut tentang prestasi sebenar anak buah beliau ekoran kekurangan aksi perlawanan disebabkan pandemik serta pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Brunei.
Beliau bagaimanapun melihat perlawanan dengan Malaysia sebagai sebuah medium ujian yang sangat tepat untuk menguji kemampuan sebenar pasukan kendaliannya.
Malah beliau akan jadikan perlawanan persahabatan menentang Malaysia sebagai platform untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki kekurangan pasukannya setelah sekian lama tidak beraksi akibat liga kebangsaan yang diberhentikan lebih kurang setahun.
“Bagi pendapat saya, Brunei akan mendapat faedah yang banyak dalam perlawanan dengan Malaysia, di sini akan banyak pengajaran yang akan kami tempuhi berdasarkan ranking terkini Malaysia.”
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberi jangkaan yang sebenar terhadap permainan tetapi tetap berharap agar anak buahnya dapat memberikan aksi yang terbaik sepanjang 90 minit masa permainan.
“Saya tidak dapat tahu apa yang berlaku kepada pasukan tetapi apa yang penting kita membuat permainan yang terbaik.”
Aksi terakhir Brunei di kancah antarabangsa adalah ketika perlawanan persahabatan menentang Laos pada 27 Mac yang lalu, yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Laos dengan jaringan 3-2.