Adakah JDT akan adakan perlawanan persahabatan dengan Borussia Dortmund?
Selepas berjaya mencipta sejarah dalam dunia bola sepak Malaysia apabila menjadi pasukan bola sepak pertama negara berjaya layak ke pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL), Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan dengan kelab dari Jepun iaitu Urawa Red Diamonds.
Perlawanan kalah mati itu akan berlangsung pada 18 Ogos yang mana venue perlawanan masih lagi belum ditentukan berikutan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan membuka bidaan kepada mana-mana pasukan untuk membida sebagai tuan rumah.
Bagaimanapun syarat utama adalah pasukan mana yang mahu membida perlu mempunyai stadium yang dilengkapi dengan teknologi Video Assistant Referee (VAR).
Walaupun masih mempunyai tempoh dua bulan untuk membuat persiapan, namun pasukan Urawa Red sudah pun membuat persiapan awal apabila mereka dijadual akan berdepan dengan gergasi di liga Perancis Ligue 1 iaitu Paris Saint-Germain (PSG) pada 23 Julai depan.
Jika Urawa Red akan menentang kelab gergasi Eropah, adakah JDT juga akan mengatur perlawanan persahabatan dengan kelab terkemuka Eropah?
Ia bukanlah sesuatu yang mustahil buat JDT kerana pasukan itu sendiri mempunyai hubungan baik dengan gergasi bola sepak Eropah termasuk Borussia Dortmund dari Bundesliga Jerman.
Malah JDT pada tahun 2015 pernah bertemu dengan Dortmund dalam satu perlawanan persahabatan yang mana menyaksikan pasukan Harimau Selatan tumbang 6-1.
Dengan kekuatan yang ada pada JDT ketika ini, ia pasti akan menjadi satu perlawanan yang cukup menarik yang mana ia bukan sahaja memberi pendedahan kepada pemain untuk bermain dalam satu perlawanan berkualiti tinggi, tetapi juga sebagai persiapan untuk ACL nanti.
Ramai yang percaya JDT pasti akan membuat persiapan dengan rapi bagi memastikan peluang layak ke peringkat kalah mati akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk cuba mencipta sejarah baru.
Apa-apa pun ramai penyokong dari Malaysia mahu melihat satu-satunya wakil negara di peringkat Asia dapat mencapai kejayaan yang bukan sahaja untuk pasukan itu sendiri tetapi juga untuk negara.