Syamin idam lebih minit permainan

297

Pemain pinjaman Manjung City FC, Syamin Baharuddin menyatakan hasrat beliau untuk mendapatkan lebih minit permainan apabila kembali dipinjamkan ke pasukan Liga M3 tersebut.

“Saya nak dapatkan minit perlawanan, untuk dapatkan minit permainan, saya terpaksa datang ke kelab lain seperti Manjung City,”

ujar beliau kepada Harimau Malaya

Syamin sebelum ini telah beraksi bersama dengan pasukan Liga Super, Penang FC setelah berhijrah dari pasukan Perak FC disebabkan isu tunggakan gaji.


Pengumuman tentang pinjaman ini berlaku secara tiba-tiba namun beliau mengakui tidak terkejut dengan perkara ini disebabkan beliau pernah dihubungi oleh pihak pengurusan Manjung City untuk menyatakan hasrat bagi mendapatkan khidmatnya semula ke pasukan.

“Saya dipinjamkan dari Penang ke Manjung City, dan saya dapat tahu benda ni di saat-saat akhir

“Manjung City yang pertama mesej saya dan dengan Penang, saya susah nak dapat tempat.”

Syamin sedar akan kesukaran mendapatkan tempat sebagai pemain utama skuad Harimau Kumbang disebabkan lambakan pemain tempatan yang lebih berpengalaman di sana terutama sekali di posisi pertahanan kiri.

Dengan adanya pemain seperti Fairuz Zakaria dan Rafiuddin Roddin yang sering dipilih akan menyebabkan kesukaran kepada beliau untuk mendapatkan tempat dan dipinjamkan ke pasukan lain merupakan salah satu solusi yang terbaik.

Tempoh pinjaman Syamin akan berlangsung selama enam bulan dan diharap agar peluang ini dapat digunakan sebagai sebuah batu loncatan yang mampu meningkatkan prestasi semasa beliau.

Di samping itu, Syamin turut menyatakan keterujaan beliau dalam mendapatkan minit permainan yang lebih bersama pasukan pasukan ini di samping mempunyai peluang untuk kembali beraksi bersama rakan pasukannya sebelum ini.

Tambahan pula, beliau tidak berasa sebarang tekanan yang wujud apabila kembali beraksi di liga ini ekoran daripada pengalaman beliau beraksi di liga yang lebih tinggi sebelum ini bersama pasukan lain seperti Perak.

“Bagi saya, tiada rasa tekanan kerana pernah bermain di Liga M3, pernah bermain di Liga Perdana dan pernah bermain di Liga Super.”

Besar harapan Syamin agar kehadiran beliau dapat membantu pasukan ini mempamerkan aksi yang bertenaga dan berkualiti pada setiap perlawanan untuk terus mendominasi carta teratas kumpulan.

Situasi ini dilihat sebagai sebuah pentas terbaik yang boleh dimanfaatkan oleh Syamin bagi memperagakan kemampuan sebenar beliau kepada peminat bola sepak tanah air khususnya para peminat Manjung City sendiri.

Manjung City kini berada di landasan terbaik untuk layak ke Liga Perdana setelah mendahului Kumpulan A dengan 19 mata meskipun hanya dipisahkan dengan tiga mata daripada pencabar terdekat mereka, Kinabalu Jaguar hasil daripada lapan perlawanan keseluruhan.

Mereka akan menerima kunjungan daripada sebuah lagi pasukan pencabar saingan liga, Ultimate FC pada 28 Mei.