Indonesia yakin benam Malaysia untuk mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki

198

Selepas mencipta kejutan berjaya mengikat gergasi Asia Tenggara Vietnam tanpa jaringan pada perlawanan ketiga kumpulan B, peminat Indonesia semakin yakin pasukan mereka mampu menumpaskan Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan bagi merebut slot ke separuh akhir.

Keyakinan itu turut disuarakan oleh media sukan di negara seberang yang percaya skuad kendalian Shin Tae-yong mampu membuat Harimau Malaya menangis, malah memberikan beberapa sebab mengapa skuad Garuda mampu mengutip tiga mata penuh.


Antara sebab yang dinyatakan adalah kepincangan skuad Tan Cheng Hoe yang kini tempang di bahagian pertahanan selepas dua tonggak utama iaitu Aidil Zafuan dan Shahrul Saad terpaksa diketepikan susulan kecederaan hamstring ketika Harimau Malaya dimalukan Vietnam 0-3 baru-baru ini.

Selain itu, masalah dalaman yang peminat Harimau Malaya sendiri tahu iaitu kekurangan pemain berikutan Cheng Hoe hanya membawa 24 pemain sahaja sedang setiap pasukan dibenarkan membawa 30 pemain seperti memakan diri apabila beberapa tonggak utama mengalami kecederaan dan terpaksa dikuarantin akibat terkena jangkitan COVID-19.

Indonesia yang kini berada pada prestasi terbaik membuatkan seluruh peminatnya yakin Garuda akan meneruskan momentum positif.

Bagaimanapun keyakinan meninggi peminat Indonesia nampaknya semakin pudar apabila kem Malaysia mendapat perkhabaran baik menjelang pertembungan ‘el-classico’ pada 19 Disember ini apabila beberapa tonggak utama yang tidak dapat diturunkan sebelum ini bakal diturunkan.

Pemain tersebut adalah Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Quentin Cheng yang sudah selesai menjalani kuarantin selain kecederaan pemain pertahanan Junior Eldstal kini pulih dan bersemangat untuk diturunkan.

Memperkuatkan barisan pertahanan yang ditinggalkan Aidil dan Shahrul adalah ketibaan pemain pertahanan dari kelab eropah FC Midtjylland, Dion Cools yang sebelum ini memperlihatkan persembahan menyakinkan ketika beraksi pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Jun lalu.

Dengan kedua-dua pasukan kini berada dalam situasi positif ia sudah pasti akan menjanjikan satu perlawanan bola sepak yang cukup mendebarkan dan menarik buat peminat.