Sampai bila pasukan Liga Malaysia mahu harapkan wang kerajaan negeri

261

Setiap tahun isu yang masih terus menjadi buah mulut penganalisis bola sepak dan peminat yang sudah muak dengan skrip yang sama walaupun penswastaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) sudah lama berlaku iaitu masih ada pasukan yang menerima dana daripada pihak kerajaan negeri.

Masih terdapat beberapa pasukan yang masih mengharapkan dana kerajaan negeri untuk terus kekal bersaing dalam Liga Malaysia dan ini telah mengundang kritikan ramai yang mempersoal penggunaan dana kerajaan negeri yang disalurkan kepada pasukan bola sepak.


Dengan situasi ketika ini, ramai yang mahu pihak kerajaan negeri memberi fokus membantu rakyat terlebih dahulu yang kini terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 berbanding menabur jutaan ringgit kepada pasukan bola sepak yang hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja.

Sumber foto: Perak FC Facebook

Tidak dapat dinafikan setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia berdepan kesukaran mencari dana untuk meneruskan kelangsungan pasukan dek syarikat-syarikat korporat kini bersikap lebih berhati-hati dalam melabur terutamanya pada kelab bola sepak.

Mahu tidak mahu, setiap pasukan di Liga Malaysia perlu menjadikan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) sebagai contoh terbaik untuk menguruskan pasukan sendiri tanpa bantuan kerajaan negeri. Malahan mereka juga berjaya menarik pelabur antarabangsa bernilai jutaan ringgit setiap tahun.

Pasukan yang masih mengharapkan dana kerajaan negeri walaupun diterajui oleh ‘kononnya’ dari kalangan profesional dalam dunia bola sepak sepak patut berasa malu dengan pasukan bola sepak di Liga M4 (amatur) Kerteh FC yang jauh lebih profesional dalam mengatur strategi membina sebuah kelab yang mampu menjana pendapat sendiri tanpa mengharapkan ehsan dana kerajaan negeri.

Sumber foto: Kerteh FC Facebook

Kerteh FC telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang mana mereka telah melancarkan produk beras sebagai salah satu produk baharu kelab.

Pasukan Kerteh FC atau lebih dikenali dengan jolokan The Oilers adalah antara salah sebuah kelab bola sepak kecil yang berusaha mencari pendapatan sendiri untuk meneruskan perjuangan mereka dalam dunia bola sepak Malaysia.

Sumber foto: Kerteh FC Facebook

Selain usaha pengurusan pasukan Liga Malaysia untuk menswastakan pasukan seratus peratus tanpa pembabitan kerajaan negeri dan ahli politik, pihak FAM dan MFL juga perlu memainkan peranan penting dalam memajukan Liga Malaysia.

MFL yang ditubuhkan dengan visi untuk melakukan transformasi dan mengangkat sukan bola sepak negera ke tahap tertinggi perlu bekerja lebih keras mencari lebih banyak entiti gergasi untuk menaja dalam Liga Malaysia seperti yang diharapkan oleh pemegang taruh dan peminat bola sepak negara. Peminat sudah lama dahagakan pembaharuan dan transformasi Liga Malaysia ke arah lebih profesional seperti di liga luar negara.