Lim Teong Kim, Azraai Khor Abdullah & Akmal Rizal calon terbaik ambil alih Skuad Projek FAM-MSN

222

Ketua jurulatih Skuad Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah telah mengejutkan ramai apabila beliau meletak jawatan sebagai jurulatih pasukan itu baru-baru ini.

Perletakan jawatan Yusri Che Lah itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan dengan mendedahkan Yusri melepaskan jawatannya itu selepas mendapat tawaran kejurulatihan bersama pasukan lain.


Kekosongan jawatan jurulatih  Skuad Projek FAM-MSN ini perlu diisi dengan segera, FAM dan MSN kini dilaporkan akan menemu duga beberapa calon dalam masa terdekat bagi mengisi jawatan tersebut supaya Skuad Projek FAM-MSN dapat bersaing di Liga Premier 2022.

Walaupun tiada nama calon yang dikhabarkan bakal menggalas jawatan tersebut, namun terdapat tiga individu yang dirasakan layak dan mampu menggalas jawatan sebagai jurulatih Skuad Projek FAM-MSN ini.

Lim Teong Kim

Sumber foto: Football Tribe

Nama jurulatih Lim Teong Kim tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau mula mencipta nama sebagai jurulatih di luar negara iaitu untuk kelab bola sepak terkemuka di Jerman iaitu Bayern Munich dari tahun 2001 hingga 2013. Sepanjang kariernya di Bayern Munich beliau telah berjaya melahirkan ramai nama besar seperti Thomas Muller, Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger, Toni Kroos dan ramai lagi.

Bagaimanapun semangat patriotik yang kuat membuatkan beliau pulang ke tanah air bagi mencurah bakti dengan melatih pemain tempatan. Beliau dilantik sebagai Pengarah Program Pembagunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang mana kemudian telah dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dengan kontrak lima tahun, namun kontraknya ditamatkan lebih awal selepas kegagalan skuad Malaysia B-16 untuk layak ke Piala Dunia B-17 di Peru 2019.

Walaupun terpalit dengan beberapa kontroversi berkaitan pertikaian cara Lim Teong Kim membangunkan bola sepak negara menerusi PPBN dan AMD, namun tiada siapa dapat menafikan kepakaran yang ada pada beliau, oleh itu Lim Teong Kim adalah salah seorang calon terbaik untuk galas jawatan jurulatih Skuad Projek FAM-MSN.

Azraai Khor Abdullah

Sumber foto: FA Kedah

Mohd Azraai Khor Abdullah adalah salah seorang jurulatih terbaik tempatan sepanjang zaman berikutan beliau berjaya menang lebih banyak trofi berbanding jurulatih-jurulatih lain dalam sejarah. Antara pencapaian terhebatnya dalam sejarah bola sepak negara adalah membawa pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC ‘menyapu bersih’ enam piala dalam tempoh dua tahun (Double Treble) pada musim 2006/07 dan 2007/08 yang mana sehingga kini masih belum ada pasukan lain yang mampu menandingi pencapaian tersebut.

Apa yang membuatkan Azraai Khor adalah calon yang sesuai untuk menggalas jawatan jurulatih Skuad Projek FAM-MSN adalah beliau sememangnya dari dahulu lagi berani mempertaruhkan bakat-bakat muda dan telah berjaya melahir ramai pemain berkualiti seperti Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen, Viktor Andrag dan beberapa lagi.

Walaupun sudah bersara dari dunia kejurulatihan bola sepak, namun sekiranya diberi peluang lagi untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, sudah pasti pemain-pemain muda negara bakal menimba ilmu yang cukup berharga daripada Azraai  yang sememangnya berpengalaman luas dalam membentuk dan menggilap bakat-bakat muda.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli

Sumber foto: Penang Football Club Facebook

Jika hendak dibandingkan antara Lim Teong Kim dan Azraai Khor Abdullah ternyata Akmal Rizal Ahmad Rakhli masih hijau dalam dunia kejurulatihan. Bekas penyerang kebangsaan ini mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam dunia bola sepak tempatan dan pernah menjadi salah seorang pemain terbaik negara pada satu ketika dahulu.

Pengalaman luas yang ada padanya tidak dibiarkan begitu sahaja selepas beliau menggantung but, sebaliknya beliau mula menerokai dunia kejurulatihan kerana mahu mencurah segala ilmu dan pengalamannya kepada pemain-pemain muda.

Akmal Rizal memulakan kerjaya sebagai jurulatih untuk pasukan bawah 17 tahun Perlis pada tahun 2019, namun ia tidak bertahan lama apabila beliau meletak jawatan selepas beberapa bulan berikutan pihak pengurusan Perlis gagal melunaskan gajinya. Akmal Rizal kemudian telah dilantik sebagai penolong jurulatih untuk pasukan Pulau Pinang dan telah berjaya membawa pasukan itu kembali ke Liga Super pada tahun 2021.

Dengan pengalaman yang sedia ada rasanya pihak FAM-MSN boleh memberi peluang kepada jurulatih muda kerana sudah pasti Akmal Rizal mempunyai visi dan falsafah segar untuk membentuk skuad muda yang ampuh.