Saya belum berpuas hati lagi dengan perlawanan tadi – Faisal Halim
Pemain sayap kiri negara Faisal Halim berkata beliau mahu buat lebih baik lagi dalam perlawanan Malaysia yang seterusnya walaupun beliau berjaya menjaringkan gol pada perlawanan menentang Brunei malam tadi.
“Saya mahu buat lebih lagi dari malam ini sekiranya diberi peluang. Saya sangat teruja dan gembira kerana dapat menjaringkan gol pertama saya sebagai pemain negara.
Tak sangka saya dapat berikan aksi yang baik pada malam ini,”
katanya.
Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Mickey’ berkata prestasi cemerlangnya pada malam tadi berkemungkinan kerana sistem taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon mudah untuk difahaminya.
Malah pemain berusia 24 tahun ini juga berkata beliau tiada masalah untuk bermain dalam tempo berintensiti tinggi kerana sudah biasa dengan corak permainan itu ketika bersama pasukannya Terengganu FC.
‘Mickey’ juga tidak menafikan bahawa Pan-gon sangat teliti dan mahu setiap pemain bekerja keras ketika latihan.
“Latihan tak teruk tetapi berintensiti tinggi. Sistem yang diterapkan jurulatih akan memudahkan pasukan untuk bermain dengan mana-mana pasukan nanti.
Untuk perlawanan tadi saya masih lagi belum berpuas hati dan saya akan terus berusaha dengan lebih keras lagi untuk memberikan aksi persembahan yang lebih baik selepas ini.”
Dalam perlawanan malam tadi, Harimau Malaya berjaya menewaskan Brunei dengan 4-0.
Selepas ini skuad negara akan bertemu dengan Hong Kong dalam satu lagi perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 pada 1 Jun.
Pan-gon kemudian akan memilih seramai 23 pemain sahaja untuk dibawa untuk mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung bermula 8 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.