Mampukah Faisal Halim menjadi hero Harimau Malaya?

701

Setelah disahkan positif COVID-19 di Lapangan Terbang Angtarabangsa Changi, Faisal Halim telah terlepas 3 perlawanan di Kejohanan AFF Suzuki yang mana telah merencatkan segala perancangan dan taktikal yang telah diaturkan oleh Tan Cheng Hoe. Setelah dikuarantin selama 10 hari Faisal Halim telah diberikan pelepasan untuk menyertai kembali berlatih bersama skuad Harimau Malaya selepas keputusan Ujian PCR negatif.

Skuad Harimau Malaya pasti gembira dengan kembalinya Faisal Halim atau digelar “mickey” dalam kem skuad negara. Hal ini kerana dengan hadirnya semula faisal Halim, jurulatih negara sudah pasti ada perancangan rapi untuk menambahkan ketajaman pasukan negara terutama sekali di bahagian serangan dalam menjaringkan gol apabila berdepan skuad Indonesia pada 19 Disember ini.


Kualiti permainan yang ada pada Faisal Halim tidak dapat disangkalkan lagi. Cara permainannya yang laju dan lincah mampu mengucar kacir dan memberi tekanan kepada pasukan lawan untuk memaksa pihak lawan melakukan kesalahan. Seperti yang kita lihat di dalam Liga super dan Piala Malaysia dimana cara permainan Faisal Halim yang agresif membuatkan pertahanan pasukan lawan dalam keadaan huru-hara sehingga memberi kesan psikologi untuk melakukan kekasaran atau kesilapan mudah.

Selain itu, berdasarkan statistik jaringan Faisal Halim telah menjadi penjaring gol terbanyak untuk pemain tempatan dalam Piala Malaysia yang baru saja berakhir pada bulan lepas. Hal ini membuktikan bahawa beliau boleh menjadi salah satu senjata rahsia kepada Harimau Malaya dalam memburu gol untuk memastikan kemenangan apabila berdepan Skuad Garuda dan menghidupkan peluang negara untuk mara ke peringat separuh akhir.

Justeru Faisal Halim wajar diturunkan dalam kesebelasan utama berdasarkan prestasi semasa yang cemerlang dan konsisten bersama Terengganu FC. Kita akan lihat impak darah muda yang membara beraksi apabila diberi peluang bermain untuk Harimau Malaya.

Sumber foto : FAM Official