Azri Ghani yakin terus jadi pilihan jaga gawang negara pada Piala Asia B-23

1,231

Penjaga gol B-23 kebangsaan, Muhammad Azri Abdul Ghani yakin dengan kemampuannya untuk terus menjaga gawang negara pada kejohananan Piala Asia B-23 bulan depan.

Pemain KL City FC itu berkata, beliau akan menggunakan peluang sebaik-baiknya sekiranya diturunkan oleh ketua jurulatih, Brad Maloney pada kejohanan itu.


Beliau yang disisihkan pada perlawanan penentuan pingat gangsa pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini juga menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk diturunkan pada perlawanan pertama menentang Korea Selatan.

“Perasaan yakin semestinya perlu ada dalam diri kita. Jika coach terus beri peluang untuk jaga gawang negara saya kena ambil peluang itu.

Walaupun sekarang ni saya masih dalam proses pemulihan, saya optimis akan bersedia sepenuhnya menjelang perlawanan pembukaan menentang Korea Selatan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata skuad kali ini akan turun dengan persediaan yang lebih lengkap berbanding ketika Sukan SEA tempoh hari.

Tambahnya, enam perlawanan yang ditempuhinya dan rakan-rakan ketika kejohanan serantau itu adalah satu persediaan yang baik buat pasukan, ditambah dengan beberapa penambahbaikan yang dilakukan ketika sesi latihan.

“Masa kita pergi Sukan SEA tempoh hari kita tak ada banyak masa untuk buat persiapan jadi selepas kejohanan itu saya rasa tiada masalah buat kami pada kejohanan Piala Asia B-23 nanti.”

Azri berkata, beliau tidak risau untuk berdepan mana-mana pasukan pun pada kejohanan itu dan percaya dirinya dan pemain-pemain pertahanan sudah bersedia untuk mengawal kubu negara.

Malaysia berada dalam Kumpulan C bersama-sama penyandang juara, Korea Selatan, Thailand serta Vietnam, dan akan memulakan aksi menentang Korea Selatan pada 2 Jun ini.