Perubahan tidak ganggu momentum pasukan – Brad Maloney
Ketua jurulatih pasukan B-23 kebangsaan, Brad Maloney menegaskan bahawa momentum anak buahnya tidak akan terganggu jika terdapat sebarang perubahan yang berlaku menjelang aksi pertama menentang Korea Selatan.
“Jika ada sebarang perubahan, kami akan melihat dan memilih pemain yang boleh segera menyesuaikan diri dengan corak permainan tetapi kami tidak berharap untuk melakukan banyak perubahan,”
kata beliau kepada Harimau Malaya.
Beliau turut memberitahu pernah berbincang dengan jurulatih pasukan senior kebangsaan, Kim Pan-gon yang juga dari Korea Selatan tentang cara permainan yang digunakan oleh pasukan tersebut.
Tambahan pula, pasukan Korea Selatan yang akan beraksi di Piala Asia B-23 ini akan dibarisi oleh kebanyakan pemain handalan yang pernah beraksi di kejohanan-kejohanan utama dunia termasuk Sukan Olimpik di Tokyo.
Selain itu, corak permainan Vietnam masih menjadi tanda tanya apabila jurulatih terbaru mereka, Gong Oh-kyun menyatakan keinginan beliau untuk menggunakan pendekatan permainan yang berbeza sepenuhnya daripada yang digunakan oleh Park Hang-seo.
Tetapi Maloney tetap optimis untuk menggunakan analisis daripada permainan terakhir mereka bersama Vietnam sebagai penanda aras yang boleh digunakan untuk menyiapkan pasukannya menjelang pertemuan menentang pasukan tersebut pada 8 Jun nanti.
Maloney dan barisan kejurulatihannya akan melakukan penelitian yang lebih mendalam tentang perkara ini bagi merancang strategi yang boleh diguna pakai oleh pasukannya dalam mengekang asakan yang akan diberikan oleh pasukan Vietnam di Uzbekistan nanti.
Beliau turut menegaskan corak permainan yang digunakan akan sentiasa berubah dan bergantung kepada faktor-faktor yang melibatkan pasukan lawan mereka seperti kekuatan serta kelemahan dan lain-lain aspek yang boleh dilihat berdasarkan analisis yang dibuat.
Jurulatih tersebut juga turut menyatakan bahawa corak bertahan yang dipraktikkan semasa temasya Sukan SEA Hanoi bukanlah satu pendekatan wajib yang akan sentiasa diambil tetapi akan melakukan proses perancangan yang sangat rapi sebelum setiap perlawanan.
Motivasi pemain juga berada di tahap yang baik ditambah dengan kebanyakan pemain yang cedera sebelum ini seperti penjaga gawang utama, Azri Ghani kini sudah boleh dikatakan bersedia untuk dipilih sebagai pemain kesebelasan utama pasukan.
Maloney memahami situasi getir yang akan dihadapi oleh anak buahnya berhadapan dengan pasukan yang bukan sahaja kuasa besar Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam malahan dengan pasukan berprestasi tinggi seperti Korea Selatan.
Oleh itu, beliau meletakkan sasaran untuk mengutip sekurang-kurangnya empat mata daripada tiga perlawanan di peringkat kumpulan untuk merealisasikan impian mereka untuk layak peringkat suku akhir.
Malaysia akan berhadapan dengan Korea Selatan pada perlawanan pertama kumpulan sebelum menghadapi Vietnam dan Thailand.