MSDeaf gesa kerajaan iktiraf sukan orang pekak

498

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn menggesa kerajaan supaya mengiktiraf sukan orang pekak setaraf dengan sukan paralimpik dan sukan normal lain.

Beliau berkata ia adalah penting supaya atlet-atlet pekak dapat menerima manfaat tertentu contohnya Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), dan juga dapat mengembangkan lagi potensi mereka.


“Atlet pekak masih belum layak untuk menerima SHAKAM kerana sukan orang pekak masih tidak diiktiraf lagi. Jika ia diiktiraf, perkara itu juga adalah baik untuk perkembangan atlet kerana mereka boleh bersaing dan belajar daripada atlet normal.

Kita ada contoh atlet-atlet paralimpik seperti Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli yang masuk bertanding dengan atlet normal kerana mereka telah diiktiraf, tetapi tidak bagi kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, atlet-atlet pekak negara sudah beberapa kali mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa seperti Deaflympics, justeru beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan perkara itu.

Sementara itu, Shin Ruenn berkata pihak MSDeaf turut menjaga kebajikan atlet-atlet di bawahnya dengan merancang perjalanan karier mereka sehinggalah selepas persaraan dengan menyediakan peluang pekerjaan buat mereka.

Katanya, mereka bekerjasama dengan banyak syarikat bagi menyediakan tempat buat atlet-atlet mereka bekerja selepas bersara daripada sukan.

Selain itu, pihaknya turut menjalankan program pembelajaran bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) buat atlet-atlet muda.

“Kami dah rancang yang terbaik bagi atlet-atlet di bawah kami dan dengan kelebihan yang ada, mereka boleh masuk ke alam pekerjaan dengan syarikat-syarikat yang bekerjasama dengan kami.

Jika mereka masih muda, mereka boleh mengikuti kursus seperti bidang hospitaliti dan servis untuk mendapatkan sijil atau diploma, yang merupakan satu peluang buat pembangunan mereka.”

Dalam pada itu, MSDeaf ketika ini menumpukan kepada enam jenis sukan iaitu bola sepak, olahraga, tenpin boling, badminton, karate dan basikal bukit.

Sementara itu, pihaknya turut menghantar atlet untuk bertanding dalam kejohanan antarabangsa seperti ASEAN Deaf Games, Asia Pacific Deaf Games dan Deaflympics.