Edmund Teo mahu buktikan pemain badminton pekak setanding pemain normal
Pemain badminton pekak muda negara, Edmund Teo bertekad mahu berusaha bersungguh-sungguh sehingga mampu bersaing dengan pemain normal pada masa hadapan.
Menurutnya, beliau mahu mengikis tanggapan skeptikal pihak tertentu bahawa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sepertinya tidak mampu melangkah jauh dalam bidang sukan.
“Saya selalu saja dibawa bermain dengan lawan yang bukan pekak dan saya boleh lawan mereka dan menang.
Saya percaya kami juga boleh menceburkan diri dan berjaya dalam bidang sukan, satu hari nanti mungkin kita juga boleh bermain dengan pemain-pemain yang tidak pekak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Edmund baru sahaja membawa pulang pingat perak daripada kejohanan Deaflympics di Caxias do Sul, Brazil menerusi acara beregu campuran bersama pasangannya, Boon Wei Ying.
Edmund mengakui beliau sendiri terkejut dengan kejayaan itu kerana tidak meletakkan sebarang sasaran memandangkan ini merupakan kali pertama beliau beraksi di pentas itu.
“Memandangkan ini adalah kali pertama saya ke Deaflympics, saya menyasarkan hanya mahu lakukan yang terbaik bagi menambah pengalaman.
Saya terkejut juga dapat meraih pingat Perak bersama Wei Ying kerana lawan kami begitu kuat, tetapi saya amat bangga dengan usaha yang kami tonjolkan.”
Beliau yang baru sahaja berusia 16 tahun berkata sasarannya kini ialah untuk layak ke Deaflympics 2025 di Jepun dan membawa pulang pingat emas bersama Wei Ying pada kejohanan itu.
Beliau berkata motivasi terbesarnya dalam sukan badminton datang daripada jurulatih dan keluarganya yang mempunyai ‘darah’ badminton sejak daripada datuknya.