Sudah tiba masanya Selangor FC ada stadium sendiri

8,822

Sebut sahaja nama pasukan bola sepak Selangor FC, satu Malaysia akan kenal dengan pasukan yang merupakan antara paling lama di negara.

Selangor mempunyai reputasi yang cukup hebat maka tidak hairanlah mereka diberi gelaran King of Malaya sebelum ini.


Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini pasukan yang dikenali sebagai Gergasi Merah tampak semakin merosot apabila mempamerkan aksi yang tidak konsisten dalam saingan Liga Super.

Tidak mahu Selangor terus rebah, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah telah tampil menjadi penyelamat apabila mengambil alih pasukan itu apabila Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan syarat baru iaitu setiap pasukan yang beraksi di Liga Malaysia perlu diswastakan sepenuhnya.

Sejak itu, juara 33 Piala Malaysia kembali membina semula pasukan untuk menjadi sebuah pasukan yang ampuh dan digeruni seperti satu ketika dahulu.

Malah pihak pengurusan baru Selangor juga dilihat sangat proaktif dalam membangunkan pasukan itu menjadi sebuah kelab yang berjaya dan mampu berdiri sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan negeri seperti sesetengah pasukan lain.

Ia telah dibuktikan apabila pada musim ini mereka telah berjaya mendapat tajaan berjumlah jutaan ringgit untuk mengharungi musim 2022.

Terbaru mereka baru sahaja menerima dua lagi tajaan terbaru dari Prisha M Sdn Bhd dan Ali Good Bind Sdn Bhd, sekaligus menjadi antara pasukan yang paling banyak menerima tajaan musim ini.

Tajaan demi tajaan yang masuk ke Selangor membuktikan keyakinan penaja terhadap Selangor dan ia mungkin dibantu oleh pengaruh pemilik pasukan itu sendiri iaitu RMS.

Sudah membuktikan kemampuan mereka dari segi kewangan, rasanya sudah tiba untuk Selangor mempunyai stadium mereka sendiri yang boleh digelar sebagai Home of Selangor FC.

Ketika ini mereka terpaksa meminjam stadium di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebagai stadium home berikutan stadium keramat mereka iaitu Stadium Shah Alam kini sedang dalam proses untuk dibaiki dan naik taraf.

Bagaimanapun realitinya, stadium kedua terbesar di Malaysia di belakang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ini adalah milik kerajaan negeri, jadi secara teknikalnya ia bukan milik pasukan Merah Kuning.

Sebagai salah sebuah pasukan terbesar di negara, mereka sepatutnya sudah mempunyai perancangan untuk mempunyai stadium mereka sendiri setanding sekaligus menjadi pasukan kedua yang mempunyai stadium sendiri selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tidak perlu keluarkan kos ratusan juta ringgit untuk membina stadium baru, sebaliknya mungkin mereka boleh membeli Stadium Shah Alam memandangkan ia merupakan stadium keramat buat mereka.

Pengubahsuaian Stadium Shah Alam dijangka akan siap pada 2024 dan jika Selangor dapat membeli stadium tersebut, maka mereka akan menjadi pasukan di Liga Malaysia yang mempunyai stadium terbesar di Malaysia dengan kapasiti lebih 80,000, sekaligus sesuai dengan gelaran mereka sebagai King of Malaya.

Rata-rata peminat juga pasti akan  teruja dan menyokong seratus peratus usaha pasukan sekiranya mereka benar-benar mahu memiliki stadium sendiri.