Sesuatu yang besar sedang berlaku di Sri Pahang

Sri Pahang FC tampak rancak melakukan perubahan kepada pasukan mereka menjelang aksi liga yang akan bersambung semula tidak lama lagi.
Baru-baru ini, telah tular sebuah gambar di media sosial yang menunjukkan seorang pemain daripada Filipina, Kevin Ingreso sedang menandatangani kontrak dengan memakai jersi pasukan Tok Gajah.
Perkara itu masih menjadi tanda tanya kepada para peminat pasukan Sri Pahang kerana belum ada sebarang pengumuman rasmi yang telah dikeluarkan oleh kelab tersebut.
Pemain tengah kacukan Jerman-Filipina yang berusia 29 tahun itu sedang beraksi dengan sebuah pasukan dari Liga Thailand, Samut Prakan City FC dan telah bermain sebanyak 21 perlawanan sepanjang musim ini.
Seorang lagi pemain yang telah berjaya disambar oleh pasukan Tok Gajah adalah Steven ‘Titi’ Rodriguez secara pinjaman dari sebuah kelab Colombia, Independiente Medellin.
Perkara ini telah dikongsikan secara rasmi oleh kelab tersebut menerusi sebuah posting di laman web rasmi mereka, dimofficial.com.
Rodriguez merupakan seorang penyerang berasal dari Colombia dan telah berjaya menjaringkan sebanyak empat gol daripada 11 aksi bersama Independiente.
Kemasukan dua nama baru ini dapat dilihat sebagai sebuah rombakan drastik yang dilakukan oleh ketua jurulatih Christophe Gamel bagi memperbaiki prestasi mereka yang kini berada di tangga ketujuh liga.
Penambahan ini merupakan langkah yang perlu dilakukan berdasarkan deretan prestasi buruk yang dipamerkan oleh pemain import mereka seperti Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone yang tampak tidak memberikan sebarang impak kepada pasukan.
Billy yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Liga 2 Perancis, USL Dunkerque gagal menemui rentak kecemerlangan akibat daripada kecederaan yang dihadapinya.
Selain itu, Gamel turut menyatakan hasrat beliau untuk melihat aksi yang lebih berkualiti ditampilkan oleh penjaga gol tinggi lampai, Mamadou Samassa.
Penjaga gawang Mali tersebut telah melepaskan sebanyak 13 gol musim ini dan jumlah ini menimbulkan keraguan terhadap kemampuan beliau yang dilihat mempunyai fizikal yang cukup menyakinkan sebagai seorang penjaga gol.
Meskipun telah beraksi dengan baik semasa perlawanan terakhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Samassa perlu segera meningkatkan kualiti dan konsistensi persembahan beliau.
Diharap agar tempoh rehat yang diberikan dapat digunakan oleh pasukan Sri Pahang dalam mencipta formula bagi menampilkan aksi terbaik mereka bermula pada perlawanan yang seterusnya.
Pasukan Sri Pahang akan bertandang ke Stadium Likas pada aksi seterusnya menentang Sabah FC pada 18 Jun.