Bola keranjang pula naturalisasi pemain, apa kesan terhadap pemain tempatan?

2,575

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dilaporkan mahu menaturalisasikan beberapa pemain bagi memperkuatkan pasukan bola keranjang lelaki dan wanita negara untuk menghadapi Sukan SEA Kemboja tahun depan.

Naturalisasi dalam sukan bukanlah satu perkara yang baru dan terbanyak banyak lagi sukan yang membenarkan perkara itu contohnya bola sepak dan ragbi, cuma apa yang membezakannya adalah cara atau undang-undang untuk menaturalisasi pemain berkenaan.


Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) contohnya hanya membenarkan seorang pemain naturalisasi untuk berada dalam senarai pasukan kebangsaan setiap perlawanan.

Namun, berbeza dengan bola sepak, proses naturalisasi yang ditetapkan FIBA boleh dikatakan ‘tidak ketat’ kerana pemain naturalisasi boleh beraksi terus tanpa perlu menunggu tempoh tertentu dengan syarat mendapat kebenaran kerakyatan baharu dari kerajaan.

Dari sudut yang positif perkara itu dilihat mampu memberi kejayaan dalam masa yang singkat buat pasukan bola keranjang negara.

Sebagai contoh, MABA mengesahkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti seorang pemain Afrika berketinggian 210 sentimeter untuk tujuan itu.

Di Malaysia, sukar untuk mencari pemain-pemain setinggi itu dan ia sememangnya dilihat satu perkara yang baik buat pasukan bola keranjang negara.

Tetapi mungkin ini juga harus membuatkan MABA membuka mata tentang kepentingan sains sukan dalam melahirkan pemain-pemain yang mempunyai fizikal setanding dengan negara-negara luar.

Jika dilihat dari sudut berbeza pula, ia mungkin dapat menutup peluang buat perkembangan pemain tempatan terutama pemain muda negara sekiranya kita terlalu bergantung kepada pemain naturalisasi.

Mujurlah FIBA hanya membenarkan seorang saja pemain naturalisasi untuk berada dalam senarai pasukan kebangsaan setiap perlawanan, jika tidak ia akan menjadi ‘barah’ seperti yang berlaku dalam bola sepak.

Bagi peminat bola sepak negara, naturalisasi pemain ini adalah satu isu sensitif dan sering kali menjadi perdebatan dalam kalangan peminat tempatan.

Lihat saja dalam Liga Malaysia, lambakan pemain naturalisasi sudah menutup peluang ramai pemain tempatan beraksi.

Kelab-kelab bola sepak negara juga dilihat gemar menaturalisasikan pemain yang sudah mencapai syarat-syarat untuk dinaturalisasikan bagi membuka ruang kepada lebih ramai import dalam pasukan.

Perkara itu juga turut dilakukan oleh sukan ragbi yang sebelum ini dilaporkan mengambil beberapa pemain daripda Fiji dan Samoa bagi menghadapi kejohanan antarabangsa.

Mungkin sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA tahun depan, proses naturalisasi yang dilakukan MABA ini adalah satu tindakan bijak kerana mampu memperkuatkan pasukan dalam masa yang singkat.

Negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura dan Indonesia turut melakukan perkara sama untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Walaubagaimanapun, selepas ini MABA harus pandang jauh ke hadapan dan memikirkan pelan untuk meningkatkan kualiti pemain dalam jangka masa panjang supaya negara tidak perlu bergantung kepada pemain naturalisasi.

Bukan sahaja dalam bola keranjang, sukan-sukan lain di negara ini seharusnya mempunyai pelan yang sama.