Kita perlu gunakan kelebihan bermain di laman sendiri – Farizal Marlias

615

Penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias berkata beliau dan rakan sepasukan perlu menjadikan perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong sebagai kelebihan buat mereka berikutan bermain di laman sendiri.

Farizal juga berkata setiap pemain perlu menunjukkan satu prestasi yang baik untuk penyokong yang sudah lama tidak dapat melihat Harimau Malaya beraksi.


“Saya rasakan ini adalah persiapan yang sangat baik kerana kita bermain di laman sendiri, jadi kita perlukan kelebihan ini sepenuhnya,”

katanya.

Tambah penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu lagi, setiap pemain negara berada dalam keadaan yang cukup baik dan memberi komitmen tinggi sepanjang sesi latihan, oleh itu beliau yakin mereka mampu memberikan keputusan yang positif.

Beliau yang ditanya mengenai falsafah dan pendekatan ketua jurulatih baru negara Kim Pan-gon yang mahukan permainan menyerang dan berintensiti tinggi berkata beliau tidak berdepan sebarang masalah langsung kerana sudah terbiasa dengan corak permainan seperti itu ketika bersama kelabnya.

“Sekarang ini bola sepak moden jadi banyak perkara yang perlu kita pelajari, tetapi bagi saya, saya sudah biasa dengan cara itu di JDT, jadi untuk datang ke kem latihan negara itu bukanlah satu masalah besar buat saya. Saya sudah terbiasa dengan corak permainan seperti itu.”

Dalam pada itu, pengendali skuad negara Pan-gon pula sekali lagi menekankan bahawa beliau tidak mengutamakan keputusan untuk perlawanan menentang Hong Kong kerana fokusnya adalah untuk memastikan anak buahnya dapat menterjemahkan percaturannya di atas padang nanti.

“Menang atau kalah tidak penting kerana apa yang penting bagi saya ketika ini adalah setiap pemain dapat bermain dengan falsafah dan taktikal yang diterapkan.

Walaupun saya tidak kisah dengan keputusan perlawanan persahabatan ini, tetapi saya mahu setiap pemain saya sentiasa dahagakan kemenangan dalam setiap perlawanan.”

Tambahnya lagi, beliau akan terus menerapkan corak permainan berintensiti tinggi, mendominasi dan menyerang untuk mendapatkan gol untuk menang.

Sementara itu, Pan-gon juga menjelaskan bahawa setiap pemain yang diturunkan sebagai kesebelasan utama atau pun dalam simpanan adalah berdasarkan prestasi semasa mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau tiada pemain pilihan atau pilih kasih dengan pemain sebaliknya akan pilih pemain yang mampu memberikan Malaysia kemenangan.

Terdahulu pada perlawanan persahabatan pertama Malaysia berjaya membenam Brunei 4-0 yang mana menyaksikan anak buah Pan-gon boleh dikatakan mendominasi hampir keseluruhan masa permainan tetapi banyak melepaskan peluang terhidang.

Perlawanan menentang Hong Kong akan menjadi perlawanan terakhir skuad negara sebelum mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada 8 Jun ini.