Jordan Mintah bersedia beraksi di Liga Super

271

Pemenang kasut emas Liga Perdana musim lalu, Jordan Mintah kembali membuktikan ketajaman beliau selepas aksi permulaan musim yang hambar.

Mintah yang sebelum ini bermula dengan sangat perlahan pada saingan awal musim telah berjaya menjaringkan tujuh gol daripada sembilan perlawanan liga.


Pemain kelahiran Ghana itu kini beraksi bersama pasukan Terengganu FC II yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana selepas berjaya mengutip 19 mata daripada sembilan perlawanan, dan beliau kini jelas kelihatan bersedia untuk beraksi bersama pasukan Terengganu FC di Liga Super berdasarkan konsistensinya di bahagian hadapan.

Ketajaman Mintah merupakan antara senjata merbahaya yang boleh dimanfaatkan oleh pasukan Terengganu yang sedang menghadapi kesukaran mencari jaringan.

Selepas empat perlawanan, barisan hadapan pasukan Terengganu yang dipimpin oleh Kpah Sherman hanya berjaya menghasilkan lima jaringan.

Pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain perlu segera mengambil peluang ini bagi memperbaiki semula kedudukan pasukan di Liga Super sebelum pemain itu disambar oleh pasukan lain semasa jendela perpindahan kali ini.

Selangor FC merupakan antara pasukan yang disebut sebagai destinasi sesuai untuk Mintah. Beliau pernah dikaitkan ke Selangor bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Ifedayo Olusegun yang berpindah ke Melaka United FC.

Permainan yang tidak konsisten serta ketumpulan di hadapan gawang lawan menyebabkan pasukan Gergasi Merah hanya berjaya mencapai dua kemenangan daripada lima perlawanan yang telah dihadapi.

Pemain import yang dimiliki oleh pasukan Selangor ketika ini seperti Hyuri dan Hein Htet Aung kelihatan gagal menyerlah di bahagian hadapan, dan hanya Caion yang nampaknya lebih tajam dan berjaya mengumpul enam gol setakat ini.

Selain itu, Kedah Darul Aman FC turut dilihat sebagai salah satu pasukan yang sesuai ekoran daripada ketiadaan penyerang yang mampu membantu barisan serangan pasukan itu.

Sebelum ini, kredibiliti bahagian serangan Kedah diuji apabila penyerang import, Dennis Buschening mengalami kecederan tendon pada awal musim dan perlu direhatkan selama enam bulan.

Kisah duka ini ditambah dengan berita kepulangan mengejut Syafiq Ahmad ke pangkuan pasukan Johor Darul Ta’zim selepas hanya beraksi untuk sembilan perlawanan.

Meskipun Kedah ketika ini berada di tangga keempat, namun dapat dilihat bahawa pasukan ini bergelut untuk mendapatkan khidmat penyudah yang konsisten dalam setiap perlawanan.

Mintah kini berada di dalam kedudukan Top-4 bagi senarai penjaring terbanyak saingan Liga Perdana, satu gol di belakang Fernando Rodriguez dari JDT II selaku pendahulu.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen