Penuh suka dan duka, penyokong Kelantan bakal gegar semula Stadium Sultan Muhammad IV

202

Stadium keramat Kelantan FC, Stadium Sultan Muhammad IV dilaporkan bakal dibuka semula Ogos ini selepas melalui proses naik taraf melibatkan kos bernilai RM5 juta.

Stadium itu akan menerima lampu limpah baharu, serta baik pulih kemudahan sedia ada dan kerosakan pada struktur bangunan berkenaan.


Ia pastinya satu khabar yang amat gembira buat pasukan itu yang kini terpaksa bermain jauh di Lembah Klang iaitu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bersama pasukan Kelantan United.

Tetapi, pihak yang lebih gembira pastinya penyokong-penyokong setia The Red Warriors yang sudah menganggap stadium itu sebagai rumah mereka.

Dengan kembalinya pasukan ke stadium itu, ia bakal memudahkan lagi para penyokong untuk hadir menyaksikan perlawanan.

Bukan itu sahaja, stadium yang terletak di Kota Bharu itu pernah melahirkan ramai lagenda yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia bersama pasukan Pantai Timur itu.

Siapa yang boleh lupa akan nama-nama seperti Mohamad Ghaddar, Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat, Nurul Azwan Roya dan Daudsu Jamaluddin yang pernah menggegar Liga Super bersama Kelantan satu ketika dahulu.

Kejayaan meraih gelaran treble di stadium keramat itu pada tahun 2012 pasti masih segar dalam ingatan penyokong Kelantan yang sudah lama tidak mendakap trofi.

Kelantan kini gah berada di tangga pertama Liga Perdana selepas sembilan perlawanan dan sekiranya mereka berjaya mengekalkan kedudukan itu sehingga akhir musim, ia pastinya satu perkara manis buat para pemain dan peminat kerana dapat meraikan kejayaan menjulang piala di ‘rumah’ sendiri.

Selain itu, stadium itu juga pernah menerima satu makeover kontroversi yang pernah menjadi jenaka buat penyokong Liga Malaysia apabila dicat dengan warna merah jambu pada 2016 selepas jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida menjadi penaja utama pasukan itu.

Sebilangan peminat Kelantan membantah keras perkara itu kerana ia ‘merosakkan’ identiti pasukan yang dikenali dengan warna merah putih itu.

Ketika zaman kegemilangan pasukan itu kira-kira 10 tahun lalu, peminat Kelantan juga dikenali dengan sikap fanatik dan semangat yang amat kuat terhadap pasukan mereka sehingga beberapa insiden keganasan turut berlaku di stadium tersebut.

Bukanlah mahu menggalakkan keganasan peminat dalam bola sepak, tetapi liga kita sememangnya merindui suasana meriah seperti yang ditunjukkan oleh peminat Kelantan satu ketika dahulu.

Mana-mana pasukan yang datang ke Sultan Muhammad IV ketika itu juga pastinya gerun dengan sokongan padu yang ditunjukkan peminat Kelantan ketika itu.

Pelbagai suka duka yang dilalui oleh penyokong Kelantan di stadium yang dibina pada tahun 1967 itu.

Selepas proses baik pulih ini siap, diharap peminat Kelantan dapat kembali semula memberi sokongan padu kepada pasukan mereka seperti dahulu supaya Liga Malaysia lebih meriah.

Dan diharapkan juga semangat stadium baru akan menjadi motivasi buat Kelantan untuk kembali semula ke Liga Super musim depan.