Zainal Abidin Hassan kembali kemudi Penang FC

1,792

Bekas ketua jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan telah dilantik sebagai pengendali pasukan Penang FC yang baru bagi menggantikan Manzoor Azwira selepas pasukan itu bergelut dalam saingan Liga Super musim ini.

Zainal Abidin merupakan jurulatih ketiga skuad Harimau Kumbang untuk musim ini sejak mereka memecat Tomas Trucha bulan lalu yang mana ia jawatan itu kemudian dijawat sementara oleh Manzoor.


Jurulatih berusia 59 tahun bukanlah asing dengan bola sepak Penang kerana pada tahun 2017 beliau pernah mengendalikan pasukan itu.

Mengikut perancangan asal Penang, mereka pada mulanya mengekalkan Trucha sebagai ketua jurulatih dengan Manzoor kekal sebagai pembantu jurulatih yang mana beliau akan mengikuti kursus kejurulatihan AFC Pro Diploma sebagai program kesinambungan kepimpinan pada tahun 2023.

Dalam pelan 2023 itu, Manzoor akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih secara rasmi pada tahun hadapan daripada Trucha, tetapi akibat prestasi hambar pasukan Penang sejak awal musim membuatkan pihak pengurusan terpaksa mengambil tindakan drastik.

Selepas memecat Trucha, Manzoor telah mengambil alih pasukan bagaimanapun prestasi pasukan itu terus merosot dengan kalah empat perlawanan dan seri dalam lima perlawanan terakhir.

Enggan menunggu lebih lama, pihak pengurusan telah mengambil mengambil peluang jendela perpindahan kedua untuk membawa masuk ketua jurulatih baru.

Kemasukan Zainal Abidin ini juga akan menyaksikan pasukan itu akan membawa masuk beberapa pemain baru bagi memperbaiki kedudukan pasukan yang kini berada di tangga tercorot Liga Super.

Banyak perkara yang perlu dilakukan oleh beliau untuk pusingan kedua saingan liga kali ini jika tidak mahu tersingkir ke saingan Liga Perdana pada musim hadapan.

Pada musim lalu Penang menjadi pasukan ‘kuda hitam’ buat pasukan lain di Liga Super apabila mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan dengan berjaya menamatkan saingan dengan tempat ke-3 di Liga Super.

Penang juga dikatakan akan menjadi pencabar utama Johor Darul Ta’zim (JDT) disamping pasukan Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan Sri Pahang FC.

Bagaimanapun selepas lebih separuh pemain Penang dibeli, pasukan itu terus tempang dan kemasukan pemain-pemain baru masih belum mampu memberi saingan kepada pasukan lain.

Berbalik kepada Zainal Abidin, untuk rekod ketika beliau mengendalikan pasukan Penang pada musim 2017 pasukan Penang menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot sekaligus mereka tersingkir ke Liga Perdana pada tahun 2018.

Adakah kemasukan Zainal Abidin akan memberi sinar harapan baru buat penyokong yang dahagakan kejayaan? Sama-sama kita tunggu dan lihat.