Lebih ramai pelatih AMD bakal ikut jejak Luqman Hakim bermain di luar negara?
Tiga pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bakal menjalani sesi percubaan di dua kelab Eropah iaitu kelab Ligue 2, FC Annecy dan kelab Luxembourg National Division (BGL Ligue), Racing FC bermula 2 Jun sehingga 19 Jun 2022.
Mereka ialah Mohammad Haykal Danish, Rohisham Haikal dan Muhammad Abu Khalil yang kesemuanya berusia 17 tahun dan merupakan generasi 2005 akademi itu.
Bagi Haykal dan Rohisham, ini bukanlah pengalaman pertama mereka ke Eropah kerana sebelum ini pernah bermain untuk pasukan Paris Saint-Germain (PSG) B-13 dalam Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali pada tahun 2018.
Malah, Haykal berjaya mencatat memori manis dengan menjaringkan satu gol untuk membantu pasukannya menewaskan kelab Itali, Cesena 3-0.
Muhammad Abu Khalil pula merupakan pemain utama skuad Piala Presiden AMD yang kini berada di puncak saingan liga Piala Presiden 2022.
Sesi percubaan itu telah diaturkan oleh pengarah teknikal NFDP, Saad Ichalalene yang berasal dari Perancis.
Beliau yang dilantik ke jawatan itu pada 2019 sebelum ini merupakan Ketua Pencarian Bakat dan Metedologi Kejurulatihan NFDP sejak 2016.
Sebelum berkidmat di NFDP, beliau pernah menjadi ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Remaja PSG.
Sejak ditubuhkan pada 2014, AMD telah beberapa kali menghantar pelatih-pelatihnya untuk menjalani latihan percubaan di luar negara.
Antara yang pernah mencuba nasib adalah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Adam Farhan dan JDT III, Aznil Hafiz Azhar yang pernah menjalani percubaan dengan kelab Liga Belanda, AZ Alkmaar pada tahun 2018.
Pada tahun 2019 kelab dari Jepun, Cerezo Osaka pernah menguji empat pemain AMD iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal, Muhammad Firdaus Khaironisam dan Ali Imran Sukari.
Pada masa sama, penjaga gol B-23 negara, Sikh Izhan Nazrel juga pernah dihantar ke Sepanyol untuk menjalani sesi percubaan dengan kelab La Liga 2, Fuenlabrada tahun lalu.
Setakat ini hanya penyerang B-23 negara, Luqman Hakim merupakan satu-satunya graduan AMD yang mendapat peluang untuk bermain di luar negara iaitu di kelab Belgium, KV Kortrijk sejak 2020.
Perkembangan ini adalah satu perkara yang positif buat bola sepak negara kerana semakin banyak kelab-kelab luar sudah mula membuka mata terhadap kualiti pelatih-pelatih AMD.
Diharapkan ketiga-tiga pemain itu berjaya memikat hati salah satu kelab berkenaan supaya dapat mengembangkan lagi bakat mereka di Eropah dan menimba ilmu berguna untuk masa depan bola sepak negara.