Ada cubaan mahu jatuhkan Selangor FC?

254

Sesiapa sahaja yang terlibat dunia bola sepak pasti akan berdepan dengan pelbagai dugaan termasuk cubaan untuk menjatuhkan seseorang atau pasukan dan terbaru pasukan Selangor FC menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air.

Baru-baru ini telah tersebar satu gambar tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp yang menunjukkan perbualan di antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC iaitu, Dr. Johan Kamal dengan pemain Terengganu FC II (TFC II) Jordan Mintah.


Dalam perbualan tersebut memperlihatkan Dr. Johan didakwa cuba ‘mengajak’ pemain itu berhijrah ke pasukan Selangor tanpa melalui Terengganu.

Dakwaan itu nyata mencetuskan perbalahan di kalangan peminat bola sepak yang mana Dr. Johan tidak menunggu lama untuk tampil menafikan perkara tersebut termasuk akan membuat laporan polis berkaitan tindakan pihak yang ingin menjejaskan imej beliau dan Selangor.

Apa yang membuatkan dakwaan itu tidak berasas apabila pemain TFC II iaitu Mintah sendiri telah tampil menyatakan bahawa tangkap layar perbualan itu palsu sambil menegaskan hatinya masih bersama Terengganu.

Perkara sama pernah dinyatakan oleh penjaring terbanyak Liga Perdana 2021 kepada Harimau Malaya yang mana beliau mengakui menerima banyak tawaran dari pasukan dari Liga Super tetapi beliau tetap mahu bersama skuad Penyu pada musim ini.

Sekiranya pasukan Gergasi Merah itu benar-benar mahukan pemain dari Ghana itu sudah semestinya mereka akan melakukan perbincangan secara profesional bersama pengurusan Terengganu dan pemain dan ia akan dilakukan secara tertutup.

Bagaimanapun sekiranya perpindahan benar-benar terjadi kelak, maka sudah pasti peminat akan mempercayai dengan dakwaan tersebut kecuali Mintah berhijrah ke pasukan lain.

Rata-rata peminat Terengganu yakin bahawa pemain kesayangan mereka itu tidak akan berhijrah ke mana-mana pasukan lain kerana tahu beliau sangat gembira di pasukannya ketika ini. Bak kata Mintah sebelum ini; ‘Terengganu di hati saya’.

Seperti yang orang sering memperkatakan, dalam dunia bola sepak ini apa-apa sahaja boleh berlaku jadi kita sebagai peminat hanya boleh tunggu dan lihat sahaja.

Jendela perpindahan kedua pada musim ini agak rancak dengan beberapa kejutan termasuk sesetengah pasukan mahu membawa masuk ramai pemain baru untuk mengukuhkan lagi pasukan mereka untuk mengharungi pusingan kedua liga yang akan kembali bersambung pada hujung bulan ini.