Peminat perlu belanja lebih setiap musim

344

Selangor FC telah menambah koleksi jersi mereka musim ini selepas pengenalan jersi terbaru mereka baru-baru ini hasil kolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu terkenal, Altimet.

Bermotifkan deruman gendang dan sorokan penyokong, jersi ini bakal menjadi third kit pasukan Selangor dan dijual pada tanda harga RM 129.00 sehelai.


Dengan pelancaran ini, Selangor telah memperkenalkan sebanyak empat jersi pada musim ini termasuk jersi edisi khas untuk pemegang pas bermusim mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Namun, bilangan jersi yang banyak dalam satu musim dilihat akan menjadi masalah apabila penyokong perlu mengeluarkan jumlah wang yang banyak bagi menyokong pasukan kesayangan mereka.

Kuantiti empat hingga lima jersi dalam satu musim merupakan sebuah pendekatan yang agak janggal dalam mana-mana pasukan bola sepak di dunia.

Tambahan pula, pasukan besar dunia seperti Liverpool ataupun Real Madrid yang mempunyai bilangan peminat yang lebih ramai di serata dunia pun jarang mengeluarkan jersi melebihi tiga pilihan sekaligus dalam satu musim.

Selangor tampak agresif dalam usaha menambahkan dana pasukan untuk kekal konsisten dalam memberi saingan di dalam liga.

Pasukan di bawah pimpinan Tunku Raja Muda Selangor ini menunjukkan kemampuan mereka untuk terus berdiri teguh tanpa bergantung kepada ihsan dari mana-mana pihak.

Saban tahun, pengurusan Selangor sentiasa berusaha mencari alternatif baru bagi mendekatkan diri kepada penyokong termasuklah penjualan kombo pas bermusim yang menarik.

Tetapi kuantiti jersi yang banyak pada setiap musim mungkin merencatkan sedikit usaha-usaha yang telah dijalankan.

Faktor perbelanjaan yang tinggi akan menjejaskan motivasi peminat untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan mereka.

Lebih buruk, situasi ini akan memaksa penyokong untuk mempertimbangkan keputusan membeli jersi tiruan yang dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding yang asli.

Penjualan jersi tiruan yang semakin berleluasa di Malaysia dengan jumlah pengedar yang semakin bertambah akan menyebabkan usaha yang dilakukan oleh pasukan seperti Selangor menemui jalan buntu.

Perkara seperti ini perlu diperhalusi semula oleh kesemua pasukan dalam negara bagi memastikan isu perbelanjaan tidak menjadi dilema kepada peminat.