Siapa yang urus takraw sebenarnya?

409

Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) telah membuat keputusan mengejutkan untuk menawarkan jawatan pengendali baru pasukan kebangsaan kepada jurulatih pasukan Kelantan Warriors, Azhar Sarbini.

Perkara ini dilakukan susulan daripada kegagalan pasukan sepak takraw negara memperoleh pingat emas di temasya Sukan SEA Hanoi baru-baru ini.


Sedikit membingungkan apabila MSC sendiri yang melantik jurulatih pilihan mereka dan bukan melalui Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) atau Majlis Sukan Negara (MSN) seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Jadi adakah bermaksud selepas ini skuad kebangsaan tidak lagi dikendalikan oleh PSM, jika ya, mana hitam putihnya,”

kata Mohsen Amdan, wakil media Bola Rotan kepada Harimau Malaya.

Perkara ini dilihat akan terus menimbulkan kekeliruan dan mengeruhkan lagi situasi antara MSC dan PSM dalam memegang tampuk kepimpinan sukan tersebut.

Kemelut MSC dan PSM yang berpanjangan sebelum ini turut menimbulkan tanda tanya tentang masa depan sukan sepak takraw negara kita.

Keputusan yang diambil oleh MSC dilihat tidak perlu memandangkan penganjuran Sukan Asia di Hangzhou, China berkemungkinan besar dibatalkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa Azhar mempunyai pengalaman yang luas di dalam sukan sepak takraw negara.

Tetapi kegagalan beliau bersama pasukan Kelantan Warriors musim ini menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat tatkala mereka melihat terdapat beberapa nama lain yang lebih sesuai menjadi calon.

“Ramai peminat sukan takraw negara turut berpendapat bahawa ada jurulatih yang lebih sesuai seperti Coach Wadi bersama ATM Guardians.”

Aswadi Abdullah yang kini cemerlang melatih pasukan ATM Guardians menjuarai Sepak Takraw League 2021/2021 turut memiliki kelayakan untuk dipilih.

Namun begitu, Azhar belum membuat keputusan sama ada akan menerima atau menolak tawaran tersebut memandangkan permasalahan yang masih berlaku di antara dua badan tersebut.

Beliau masih menerima tawaran untuk terus membantu pasukan Kelantan Warriors di saingan liga yang akan kembali bermula.

Badan bertanggungjawab perlu segera menyelesaikan isu tampuk kepimpinan ini supaya usaha menaikkan semula sukan sepak takraw negara boleh terus dijadikan fokus utama.