Syamer Kutty tak rasa selesa, akui masih banyak perlu diperbaiki

454

Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba menegaskan masih banyak yang beliau perlu diperbaiki menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2023.

Walaupun menjadi pilihan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dalam dua perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Brunei dan Hong Kong, beliau tidak mahu berasa terlalu selesa dan mahu terus meningkatkan tahap permainannya


“Saya bersyukur diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan ini tetapi saya masih tidak menganggap bahawa diri saya pemain penting dalam pasukan.

“Apa yang saya boleh buat hanyalah memberikan 100 peratus dalam sesi latihan dan kemudian saya serahkan segala-galanya kepada jurulatih,” katanya.

Beliau berkata, antara aspek yang perlu diperbaikinya adalah ketika memegang bola dan perlu lebih rajin membantu pasukan.

Syamer turut mengakui tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal berintensiti yang diterapkan oleh Pan-gon memandangkan beliau menjalani latihan berintensiti tinggi di Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau berkata, dua perlawanan persahabatan yang ditempuhi ini adalah penting sebagai persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2023 nanti.

“Mengenai peluang kita untuk layak ke Piala Asia nanti, kita harus lihat bagaimana kita main nanti.

“Apa-apa pun segala benda yang baik dalam persahabatan ini kita perlu beri kredit walaupun ini bukan game yang sebenar lagi.”

Syamer berharap beliau dan rakan-rakan dapat memberikan aksi lebih baik ketika pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 nanti untuk layak ke kejohanan itu.