Azam Azih yakin peluang Malaysia layak ke Piala Asia 2023

883

Pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih optimis dengan peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2023 berdasarkan dua perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Brunei dan Hong Kong.

Pemain Sri Pahang FC itu berkata keyakinan para pemain kini berada di tahap tertinggi selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut.


“Kalau kita tampilkan permainan yang sama seperti kedua-dua perlawanan persahabatan ini, saya lihat kita mempunyai peluang cerah untuk ke Piala Asia tahun depan.

Saya lihat para pemain juga bermain dengan keyakinan yang tinggi atas padang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau mengakui corak latihan yang diterapkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon berintensiti tinggi tetapi beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri.

Beliau juga berterima kasih kepada Pan-gon kerana memberi peluang kepadanya berada dalam kesebelasan utama menentang Hong Kong yang mana Malaysia berjaya menang 2-0.

Azam juga bertekad mahu terus konsisten dalam permainan supaya mendapat lebih banyak peluang lagi pada masa depan.

Sementara itu, skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 pada 8 Jun ini menentang Turkmenistan, Bahrain pada 11 Jun dan terakhir menentang Bangladesh pada 14 Jun.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.