Eksklusif: Kobe Jae Chong tak akan bermain di Liga Malaysia
Pemain warisan Kobe Jae Chong dikatakan tidak berminat untuk bermain di Liga Super walaupun sebelum ini terdapat desas-desus yang mengatakan beliau akan berhijrah ke Malaysia.
Baru-baru ini peminat bola sepak tanah air kecoh apabila pemain berdarah kacukan Malaysia-England-Jamaica telah memuat naik gambar berada di Malaysia yang mana menguatkan lagi khabar angin yang mengatakan beliau akan menjadi pemain baru Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Sri Pahang FC.
Bagaimanapun menurut satu sumber dalaman, keberadaan pemain berusia 21 tahun itu di Malaysia ketika ini bukannya untuk menandatangani kontrak bersama pasukan di Liga Malaysia, sebaliknya beliau pulang kerana mahu menyelesaikan segala urusan berkaitan dokumentasi.
Ini kerana sebelum ini Kobe pernah beberapa kali menyatakan hasratnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan beliau menjadi nama yang disebut-sebut akan bermain untuk pasukan B-23 negara kendalian Brad Maloney untuk Piala Asia B-23.
Bagaimanapun hasrat beliau tidak kesampaian apabila namanya tidak dapat didaftarkan berikutan proses dokumentasinya belum lengkap.
Sekiranya proses dokumentasinya selesai, pemain yang lahir di Birmingham, England ini akan berpeluang untuk bermain untuk Malaysia samada bersama skuad B-23 atau pun skuad utama di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Sebelum ini Kobe beraksi bersama kelab Peterborough United dalam Liga Divisyen Dua Inggeris iaitu EFL Championship.
Walaupun boleh mewakili Englad dan Jamaica, tetapi Kobe lebih berminat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Malaysia dan pernah memuat naik gambar dengan memakai jersi Harimau Malaya.