Kumpulan E janjikan saingan sengit untuk skuad Harimau Malaya

111

Di atas kertas, Bahrain tampak sebagai pesaing terkuat untuk Malaysia dalam Kumpulan E kelayakan Piala Asia berdasarkan kedudukan ranking mereka yang kini berada di tangga ke-89 dunia.

Pasukan tersebut mempunyai pemain yang memiliki kelebihan dari segi fizikal berbanding pemain-pemain negara.


Bahrain sebelum ini telah memenangi perlawanan persahabatan menentang Thailand dengan jaringan 2-1 sebagai persiapan mereka ke pusingan kelayakan Piala Asia ini.

Pemain yang sedang beraksi bersama FC Slovan Liberec dari Republik Czech, Abdulla Yusuf Helal akan menjadi antara tonggak utama bahagian serangan Bahrain bagi kempen kelayakan Piala Asia ini.

Selain itu, pergerakan Abdulwahab Al-Malood dalam mengemudi barisan tengah pasukan Bahrain perlu dikunci sebaiknya bagi mengehadkan kemampuan pasukan tersebut menghasilkan ancaman berbahaya kepada pasukan negara.

Seterusnya, sebuah lagi pencabar pasukan negara adalah Turkmenistan yang turut mempunyai reputasi tersendiri di peringkat Asia.   

Ketua pasukan mereka, Arslanmurad Amanov harus sentiasa dikawal oleh barisan pertahanan negara tatkala pemain itu telah mempamerkan aksi yang memberansangkan bersama kelabnya, FK Ahal Akdasayak.

Kedudukan Turkmenistan yang kini berada di kedudukan 134 dunia, 20 tangga di atas pasukan negara dilihat sebagai salah satu faktor mengapa pasukan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh Kim Pan-gon dan pasukan kejurulatihannya.

Pasukan ini telah memperoleh tiga kemenangan daripada empat perlawanan sebelum tewas pada perlawanan persahabatan terakhir mereka menentang Thailand.

Akhir sekali, Bangladesh juga dilihat mampu menjadi silent killer di dalam Kumpulan E.

Perkara ini dapat dilihat menerusi pencapaian mengagumkan mereka mengikat pasukan Indonesia tanpa jaringan pada perlawanan persahabatan terakhir.

Meskipun berada di tangga 188 dunia, Bangladesh dilihat berpotensi memberikan kejutan kepada pasukan lain.

Pemain tengah merangkap ketua pasukan mereka, Jamal Bhuyan merupakan antara perancang utama pasukan Bangladesh dalam menghasilkan serangan.

Beliau yang berjaya memperoleh sebanyak 62 caps telah membantu pasukan negaranya dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini seperti Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) dan pusingan kelayakan Piala Dunia.

Pasukan ini berjaya memperoleh satu kemenangan dan dua keputusan seri daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Kemenangan pasukan Malaysia dalam dua siri perlawanan persahabatan terakhir menunjukkan peningkatan yang sangat positif telah dilakukan oleh barisan kejurulatihan.

Tetapi, kayu ukur yang sebenar untuk menguji kemampuan pasukan negara adalah sejurus saingan pusingan kelayakan bermula.  

Pasukan negara akan melayani kunjungan Turkmenistan pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.