Jangan main serkap jarang, tuduh melulu

219

Budaya negatif membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa merupakan antara salah satu kebiasaan masyarakat di Malaysia.  

Seperti yang dapat kita lihat, perkara ini turut melibatkan industri sukan tanah air menerusi perkongsian atau pertuduhan tidak berasas yang dilakukan di media sosial.


Rata-rata peminat sukan gemar untuk menjadi antara orang terawal untuk berkongsi sesuatu isu atau berita tanpa melakukan usul periksa terlebih dahulu.

Para peminat perlu menganggap serius perkara ini lebih-lebih lagi apabila sesebuah berita yang dikongsi melibatkan perkara negatif dan maruah atlet.

Baru-baru ini, tular di media sosial tentang sebuah laporan kejadian rogol.

Berdasarkan perincian yang disebarkan di kebanyakan media sosial, orang ramai terus melakukan andaian dan tuduhan terhadap individu yang dikatakan mempunyai ciri-ciri tersebut tanpa sebarang bukti yang kukuh.

Kebebasan menggunakan media sosial sering disalah guna oleh banyak pihak bagi menyebarkan berita palsu untuk memburukkan sesetengah individu.

Perkara ini akan menjejaskan reputasi individu yang telah dituduh tambahan pula kesalahan yang dikaitkan adalah berat.

Tidak adil bagi seseorang individu itu untuk terus dihukum oleh masyarakat tanpa melalui sebarang proses pengadilan yang betul.

Tambahan pula jika perkara ini melibatkan seorang atlet, moral dan motivasi atlet tersebut akan jatuh merudum dan menyebabkan kegagalan untuk memberi aksi yang terbaik dalam sukan yang diwakili.

Situasi sebegini akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti industri sukan tanah air dan kemungkinan untuk berita ini tersebar sehingga ke negara luar adalah tinggi.

Amalan buruk ini perlu segera dihakis agar tidak menjadi amalan berterusan oleh peminat sukan di Malaysia.

Peminat perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghidupkan suasana sukan yang harmoni.

Jelas, keharmonian di dalam arena sukan akan menjadi antara komponen penting dalam memacu kemajuan dalam bidang tersebut.