Sudah tiba masanya FAM beri peluang kepada peminat hadir ke sesi latihan Harimau Malaya

469

Jika penyokong diberi peluang untuk menyaksikan sendiri pasukan kebangsaan Malaysia menjalani latihan di padang, sudah pasti ramai yang tidak akan melepaskan peluang itu.

Bagaimanapun ketika ini boleh dikatakan kebanyakan pasukan kebangsaan lebih gemar membuat latihan secara tertutup tanpa kehadiran pihak luar.


Tetapi berbeza dengan pasukan kebangsaan Korea Selatan yang mengambil keputusan untuk mendekatkan hubungan antara pasukan dan peminat setia apabila menjemput 300 peminat untuk menyaksikan sesi latihan.

Sumber foto: FAM FB

Ini bukanlah perkara baru buat pasukan itu kerana sebelum ini mereka sememangnya sering membenarkan peminat memasuki stadium untuk melihat pasukan kebangsaan mereka berlatih.

Dek penyakit berjangkit pada 2019, pasukan itu terpaksa menghentikan ‘aktiviti’ tersebut demi keselamatan.

Ketika sesi latihan baru-baru ini, bintang Tottenham Hotspurs dan juga kapten Korea, Son Heung-min dilihat berinteraksi dengan peminat dari jauh termasuk memohon maaf kepada peminat kerana pemain tidak boleh menerima sebarang hadiah daripada peminat.

Apa yang dilakukan oleh pasukan Korea boleh diikuti oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk engage dengan peminat dengan tujuan untuk mencetuskan keterujaan peminat dan semangat cintakan pasukan kebangsaan.

Dengan jumlah peminat yang hadir ke stadium yang masih belum memuaskan, rasanya dengan adanya aktiviti ini ia dapat merapatkan hubungan pemain dan penyokong, jadi secara tidak langsung ia berkemungkinan besar akan menyumbang kepada penambahan peminat yang hadir ke stadium setiap kali skuad negara turun beraksi.

Ini hanyalah cadangan daripada salah seorang peminat Harimau Malaya yang ingin melihat puluhan ribu fans kembali membanjiri stadium seperti satu ketika dahulu. Ingat pepatah ini; ‘Bersatu teguh, bercerai kita roboh’.

Dalam pada itu, dunia bola sepak dikejutkan dengan diskriminasi terhadap pemain Asia iaitu Son apabila namanya tidak tersenarai langsung sebagai colan PFA Player of the Season biarpun beliau merangkul trofi Kasut Emas bersama penyerang Liverpool, Mo Salah musim ini di Liga Perdana Inggeris.

Lebih mengejutkan apabila rakan sepasukan Son iaitu Harry Kane mendapat pencalonan sedangkan prestasi dan jumlah jaringan Son jauh meninggalkan Kane.

Ia adalah satu penghinaan kepada pemain bola sepak Asia. Adakah ini cara mereka yang sebelum ini sering melaungkan bantahan mereka secara lantang mengenai isu perkauman? Layanan double standard ini telah menyebabkan ramai peminat bola sepak di seluruh dunia kecewa dengan sikap hipokrit persatuan berkenaan.

Diharap isu seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja memberi gambaran buruk mengenai sesebuah liga tetapi juga mencemarkan semangat kesukanan.

Seluruh peminat bola sepak di dunia terutamanya dari benua Asia akan terus berada di belakang Son untuk memberi sokongan kepadanya yang menjadi mangsa diskriminasi.