Dua calon kontroversi hangatkan pemilihan Presiden KOM baharu

160

Individu yang bakal menerajui Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi penggal 2022-2025 akan terjawab pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu 12 Jun ini.

Kerusi hangat itu bakal ditandingi oleh tiga calon iaitu penyandang presiden, Datuk SM Muthu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS), Nurhayati Karim.


Namun, tumpuan pastinya terarah kepada dua calon popular untuk mengisi kekosongan jawatan itu, iaitu Muthu dan Shahidan.

Kedua-dua nama yang sudah sebati dalam pengurusan olahraga negara itu tidak pernah terlepas daripada sebarang kontroversi ketika menerajui badan itu.

Ketika di bawah Muthu, beberapa keputusan kontroversi dilakukan oleh KOM seperti tidak menyenaraikan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei pada Sukan SEA 2021 baru-baru ini.

Ia menyebabkan dominasi negara dalam acara itu sejak 2005 berakhir apabila pingat emas dirampas oleh atlet Thailand, manakala Nauraj Singh hanya mampu meraih pingat perak.

Selain itu, beliau juga pernah terlibat dalam isu elaun atlet Selangor pada Sukma 2018 yang tidak dibayar POS ketika di bawah pimpinannya.

KOM yang pernah dikendalikan Shahidan pada 2006 hingga 2012 juga tidak terlepas daripada beberapa kontroversi.

Pada tahun 2011 contohnya, negara digemparkan dengan laporan mengenai enam atlet olahraga yang melarikan diri daripada menjalani ujian anti-doping menyebabkan orang ramai mempersoalkan kredibiliti KOM.

Selain itu, naib presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pernah mengkritik kepimpinan Shahidan kerana pelbagai kontroversi timbul ketika pemerintahannya sehingga menjadi punca kemerosotan prestasi atlet-atlet negara di pentas antarabangsa.

Pada Sukan SEA kali ini, Majlis Sukan negara menyenaraikan olahraga dalam kategori sukan cemerlang kerana berjaya mencapai sasaran lima pingat emas yang diletakkan.

Tetapi jumlah kutipan pingat bagi olahraga pada Sukan SEA kali ini (lima emas, tiga perak dan lapan gangsa) adalah lebih sedikit berbanding kutipan pingat yang diraih pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina (lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa).

Jadi, KOM tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini dan harus meletakkan sasaran yang lebih tinggi pada Sukan SEA 2023 di Kemboja tahun depan kerana terdapat beberapa acara yang sepatutnya berpotensi untuk menyumbang emas seperti lompat tinggi, baling tukul besi dan juga lumba lari jarak jauh.

Apa-apa pun, diharapkan presiden yang menerajui KOM selepas ini dapat melakukan penambahbaikan dalam badan itu supaya sukan olahraga menjadi lubuk emas buat negara di peringkat antarabangsa terutama Sukan SEA.