Persembahan longlai pertahanan jadi punca Malaysia diaibkan Indonesia

215

Tamat sudah saingan buat pasukan Malaysia dalam Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura kali ini selepas Harimau Malaya ditewaskan oleh musuh tradisi Indonesia 1-4 dalam perlawanan terakhir kumpulan B sebentar tadi.

Kekalahan memalukan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini sudah diramal oleh peminat susulan kontroversi pemilihan pemain yang mendapat kritikan hebat daripada peminat.


Bagaimanapun skuad negara bermula garang dengan mempamerkan corak permainan menyerang menerusi Arif Aiman yang membuat larian menarik, namun hantaran lintangnya berjaya dipatahkan pertahanan Indonesia.

Sumber foto: FAM Facebook

Kogileswaran Raj membuka jaringan pada minit 13 menerusi satu rembatan padu daripada luar kotak penalti selepas pertahanan gagal mengeluarkan bola dengan baik.

Selepas jaringan pertama, pasukan kebangsaan seperti mengendurkan serangan manakala Indonesia pula terus melancarkan serangan-serangan berbahaya di sebelah kiri yang mana Syahmi Safari sering kali keluar dari posisi menyebabkan Indonesia berjaya membuat beberapa hantaran lintang tetapi ia berjaya dipatahkan oleh Dion Cools dan Junior Eldstal.

Serangan demi serangan daripada skuad kendalian Shin Tae-yong telah membuahkan hasil menerusi satu serangan yang mana ia kemudian disudahi oleh Irfan Jaya pada minit ke-35 yang berjaya menewaskan Khairul Fahmi apabila Syahmi meninggalkan posisinya.

Syahmi sekali lagi melakukan kesilapan apabila tidak mengawal Irfan dengan baik apabila pemain itu sekali lagi berjaya menjaringkan gol pada minit 43 iaitu kurang 10 minit selepas jaringan pertamanya.

Sumber foto: AFF Suzuki Facebook

Pada masa sama, pemain-pemain Harimau Malaya juga banyak terlepas bola dan menyebabkan Indonesia berjaya merampas dan terus melakukan serangan.

Separuh masa kedua Indonesia terus menyerang dan berjaya mendapatkan dua gol menerusi Pratama Arhan pada minit ke-50 dan Elkan Baggott minit ke-82 menutup terus peluang Malaysia untuk kembali bangkit.

Pada minit 59, Cheng Hoe memasukkan Guilherme de Paula dan Akhyar Rashid namun kedua-dua mereka gagal memberi impak.

Sumber foto: FAM Malaysia

Pemain serangan Indonesia yang mengesan kelemahan pertahanan negara dan mula membuat serangan dari kiri, tengah dan kanan membuatkan benteng pertahanan negara kelam-kabut.

Bukan Syahmi sahaja perlu dipersalahkan tetapi kesemua barisan pertahanan seperti Junior Eldstal, Dominic Tan dan Rizal Ghazali yang kelihatan seperti hilang arah dan menjadi punca kekalahan Malaysia.

Kekalahan ini mengimbas semula tragedi Piala AFF Suzuki pada tahun 2016 yang mana kita kandas di peringkat kumpulan.

Diharap ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertanggungjawab terhadap kekalahan memalukan ini dan membuat rombakan dengan segera untuk perlawanan akan datang.