Lebih banyak kejayaan menanti Speedy Tigers!

938

Pasukan hoki negara menamatkan saingan Piala Asia 2022 sebagai naib juara selepas tewas tipis kepada Korea Selatan 2-1, menggagalkan usaha untuk menjulang trofi itu buat kali pertama.

Kedudukan itu mengulangi pencapaian negara lima tahun lalu di Bangladesh di mana Speedy Tigers tewas kepada India pada perlawanan akhir.


Kejayaan meraih tempat kedua sebenarnya boleh dianggap satu bonus buat skuad negara kerana sasaran asal yang diletakkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada mereka hanyalah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2023.

Mungkin ada peminat yang tidak berpuas hati dengan kedudukan sebagai naib juara tetapi jika dilihat pencapaian skuad negara sepanjang kejohanan ini, ia adalah satu perkara yang boleh dibanggakan.

Mereka hanya tewas sekali sepanjang kejohanan itu dan menampilkan semangat juang yang tinggi berdepan gergasi-gergasi Asia lain, termasuk mengikat pasukan nombor satu Asia iaitu India.

Pencapaian itu berjaya melonjakkan ranking negara ke tangga kesepuluh dunia dalam senarai terkini Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Selain itu pakar sepakan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim juga berjaya menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 13 gol.

Pujian seharusnya diberikan kepada jurulatih, Arul Selvaraj kerana telah berjaya membentuk pasukan hoki negara untuk terus konsisten sebagai antara pasukan yang digeruni lawan.

Sebelum dua kejohanan Piala Asia terakhir, pencapaian terbaik negara adalah pada edisi 2007 apabila menduduki tempat ketiga.

Jadi, kempen negara pada kejohanan Piala Asia kali ini adalah sesuatu yang harus dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia dan menunjukkan kualiti pemain negara semakin meningkat.

Tahun ini, negara bakal beraksi dalam tiga lagi kejohanan bertaraf dunia iaitu Piala Sultan Azlan Shah, Piala Sultan Johor (B-21), Piala Negara-Negara Dunia.

Oleh itu, teruskan sokongan kepada Speedy Tigers untuk terus melakar kejayaan yang membanggakan untuk Malaysia.