Pemergian bekas atlet, pemain muda kejutkan arena sukan tempatan
Mei 2022 adalah bulan yang penuh warna warni buat arena sukan negara dengan pelbagai berita mengenai suka dan duka atlet kebangsaan dilaporkan.
Kejayaan atlet-atlet kebangsaan di Sukan SEA Hanoi, kejayaan skuad hoki negara meraih gelaran naib juara Piala Asia 2022 dan prestasi baik skuad Harimau Malaya ketika perlawanan persahabatan ternyata mengukir senyuman buat peminat sukan tempatan.
Namun, tidak dilupakan juga berita pemergian beberapa bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara dan juga mewarnai dunia sukan masing-masing.
Awal Mei lalu Terengganu kehilangan seorang legenda bola sepak, Yusoff Ali yang meninggal dunia akibat serangan asma.
Beliau yang bertugas sebagai penolong jurulatih skuad Piala Belia Terengganu menghembuskan nafas terakhir di kediamana beliau pada 7 Mei 2022.
Allahyarham pernah mendapat pengiktirafan sebagai atlet cemerlang negeri dan pernah menyarung jersi kebangsaan.
Pada 29 Mei lalu pula legenda sepak takraw negara, Rehan Mohamad Din meninggal dunia di rumahnya di Bukit Tinggi, Johor akibat sesak nafas dan jangkitan kuman dalam paru-paru.
Bekas apit kanan atau perejam Malaysia dari tahun 1987 hingga 1992 itu pernah mengharumkan nama negara di beberapa kejohanan antarabangsa antaranya meraih dua pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia Beijing 1990.
Selain itu, beliau turut meraih dua pingat emas Sukan SEA Manila 1991 dan sebutir emas antara regu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 serta membantu merampas Piala Raja Thailand 1988 dalam acara berpasukan di Bangkok.
Sehari kemudian, arena hoki negara pula kehilangan bekas pemain kebangsaan, K Ponnudurai yang aktif dalam Liga Hoki Nasional pada tahun 1975 hingga 1980.
Sebelum ini, beliau mempunyai sejarah kesihatan melibatkan dua serangan jantung dan strok.
Beliau pernah beraksi dalam Jelajah Eropah pada 1978 dan juga pernah mewakili negara dalam kejohanan-kejohanan di Jerman, Singapura, India dan Pakistan dari 1978 hingga 1980.
Pada 1 Jun 2022, negara dikejutkan dengan pemergian bekas penyerang berbisa negara, Syed Ahmad Syed Abu Bakar akibat kanser prostat.
Beliau pernah mengharumkan nama Malaysia apabila menjaringkan gol dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik di Seoul, Korea Selatan pada 1971 bagi membolehkan Malaysia layak ke temasya Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.
Beliau juga adalah antara pemain yang membantu negara untuk meraih pingat gangsa di Sukan Asia Teheran pada tahun 1974.
Apa yang lebih menyedihkan adalah, impiannya untuk melahirkan seorang penyerang berbisa sepertinya tidak kesampaian.
Selain itu, bola sepak negara juga turut kehilangan dua pemain muda berbakat dengan pemergian pemain B-21 tahun Selangor FC, Muhammad Husni Idrus dan pemain skuad Piala Presiden Kelantan FC, Muhammad Faris Ikmal Omar.
Husni meninggal dunia pada 25 Mei lalu selepas ditemui tidak sedarkan berhampiran tandas sebuah medan selera di Petaling Jaya.
Sebelum itu, beliau yang mempunyai sejarah penyakit asma baru sahaja selesai perlawanan antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim III.
Sementara itu, Muhammad Faris Ikmal Omar pula meninggaI dunia pada usia 19 tahun akibat kemaIangan jalan raya Kota Tinggi, Johor pada 29 Mei lalu.
Pemergian kesemua permata ini semestinya satu kehilangan besar buat negara. Takziah diucapkan.