Brad Maloney puji aksi pemain walaupun tumpas di tangan Korea Selatan
Ketua jurulatih skuad negara Brad Maloney tetap memberi pujian terhadap persembahan pemainnya walaupun mereka terpaksa akur apabila tumpas kepada juara bertahan Korea Selatan, 4-1 malam tadi pada perlawanan kumpulan dalam saingan Piala Asia B-23.
“Kami sudah menjangkakan perlawanan yang sukar apabila bertemu dengan juara bertahan yang mana mereka benar-benar memberi kesukaran kepada kami untuk beraksi dengan baik.
Tetapi saya bangga dengan persembahan pemain saya yang tidak pernah mengaku kalah. Mereka berjaya memperoleh satu gol dan kemudian terus cuba menekan untuk mengejar gol dan beberapa kesilapan telah mengundang padah buat kami,”
katanya.
Dalam perlawanan tersebut Malaysia berjaya mengimbangi perlawanan pada setengah jam pertama dengan turut mempunyai percubaan, tetapi pada minit ke-31 Korea mendahului menerusi gol tandukan Lee Sang-min susulan sepakan sudut.
Pada minit ke-48 skuad Harimau Muda sekali lagi dihukum apabila gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan kemas susulan satu lagi sepakan sudut Kim Tae-hwan melakukan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk sekali lagi menewaskan Rahadiazli Rahalim.
Kapten pasukan Mukhairi Ajmal kemudian merapatkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-83 selepas mendapat hantaran cantik dari Nik Akif Syahiran.
Cubaan anak buah Maloney yang ghairah mencari gol penyamaan pada minit-minit akhir telah memakan diri apabila mereka bolos dua gol lagi masing-masing pada minit ke-88 dan ke-92 oleh Cho Young-wook.
Dalam pada itu, jurulatih dari Australia itu mengakui pemainnya sangat berdisiplin pada separuh masa pertama menyukarkan pemain Korea untuk menembusi barisan pertahanan.
“Kami sangat berdisiplin pada separuh masa pertama yang mana menyaksikan pemain Korea perlu bekerja keras untuk mendapatkan gol.
Bagaimanapun apabila masuk separuh masa kedua kami bermain dengan lebih terbuka untuk mengejar gol dan berjaya mendapat satu gol tetapi pada masa sama kami memberikan beberapa peluang kepada pemain lawan yang mana menyebabkan kami bolos dua gol.”
Malaysia kini menduduki tangga tercorot kumpulan selepas Thailand dan Vietnam berkongsi satu mata pada satu lagi perlawanan Kumpulan C.
Pada perlawanan kedua nanti skuad negara akan bertemu dengan Thailand pada 5 Jun dan perlawanan terakhir menentang Vietnam pada 8 Jun.