Harimau Buta perlu perhatian kerajaan
Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) berharap pasukan mereka mendapat perhatian kerajaan terutama dari segi fasiliti seperti sukan normal lain.
Menurut ketua jurulatih Shales Manickavasagam (Sunny), buat masa ini BFAM menumpang padang latihan hoki di Stadium Hoki Tun Razak dan ianya dilihat tidak sesuai bagi sebuah pasukan bola sepak membuat latihan di padang hoki.
“Jika fasiliti khas buat golongan cacat penglihatan ini diwujudkan, seperti tempat latihan kursus buat golongan OKU, ia pasti akan dapat meningkatkan kualiti setiap pemain,”
ujar Sunny kepada Harimau Malaya.
Pada tahun 2017, BFAM pernah berada di bawah Program Majlis Sukan Negara (MSN) ketika Sukan Para ASEAN selama setahun sebelum kontrak mereka tamat.
Sejak dari itu, BFAM mula bergerak sendiri mencari penaja untuk keperluan pasukan terutama dari segi fasiliti seperti tempat latihan.
Namun begitu, semangat Sunny bersama pembantunya jurulatih Edwin tidak pernah luntur untuk melatih pasukan Harimau Buta.
“Kita adalah sukarelawan. Inilah sumbangan kemasyarakatan saya bersama jurulatih Edwin sebagai warga Malaysia yang normal. Kami rasa orang OKU pun perlu menikmati perlawanan bola sepak. Orang buta dan kita bagai satu keluarga. Kita berjuang bersama dengan mereka.”
Pada masa sama, Sunny berharap masyarakat turut memberi sokongan kepada pasukan Harimau Buta.
Walaupun tidak mempunyai fasiliti sendiri dan berdepan kekangan kewangan, mereka tetap optimis untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia pada November 2022 akan datang.
Harimau Buta telah mengadakan perlawanan persahabatan menentang Thailand yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak sebagai persiapan awal baru-baru ini yang mana menyaksikan mereka tumpas 1-0.
Untuk rekod, pada Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura, BFAM pernah mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat emas yang ke-50 buat kontijen Malaysia menewaskan Thailand.