Liga M3 pada musim 2023 akan guna format baru

3,597

Selepas lebih dua tahun terpaksa dihentikan akibat pandemik COVID-19, saingan Liga M3 akhirnya kembali bersambung pada musim 2022.

Untuk musim ini sebanyak 20 pasukan bersaing yang mana ia menggunakan format dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.


Empat pasukan teratas setiap kumpulan kemudian akan bermain di peringkat play-off untuk menentukan pasukan yang akan layak naik ke Liga Perdana pada musim 2023.

Bagaimanapun untuk musim 2023, pengendali Liga M3 iaitu Amateur Football League (AFL) akan membuat sedikit perubahan format liga.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL iaitu Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad.

“Tahun 2022 adalah tahun transisi Liga M3 yang mana pada musim ini kita akan mempunyai saingan Liga M3 dan juga Liga M5. Untuk musim 2023 AFL merombak format M3 yang mana ia akan dijalankan dalam format liga biasa dengan hanya 14 pasukan yang bersaing dalam liga.

Untuk musim hadapan kami akan perkenalkan Liga M4 yang mana ia akan mengguna pakai format sama seperti M3 pada musim ini. Memandangkan musim ini Liga M3 mempunyai 20 pasukan, maka pada musim hadapan sebanyak enam pasukan akan tersingkir dari Liga M3 dan akan bermain di Liga M4.

Manakala sebanyak 14 pasukan dari Liga M5 akan dinaikkan ke Liga M4,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Raimi berkata ketika ini beberapa negeri sudah pun mula menganjurkan saingan Liga M5 yang setiap pasukan yang beraksi akan merebut slot untuk naik ke Liga M4 pada musim hadapan.

Dalam pada itu, Raimi berkata walaupun liga amatur tetapi mereka tidak boleh lari dari masalah seperti tunggakan gaji dan sebagainya.

Apabila isu seperti ini berlaku, beliau berkata pihak AFL tidak dapat mengambil tindakan sendiri, sebaliknya mereka akan bertindak menjadi penasihat yang mana mereka akan membantu dari segi bagaimana mahu membuat aduan dan sebagainya.

Ini kerana segala isu atau permasalahan yang berlaku di antara pasukan atau pemain ia terletak di bawah bidang kuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, Raimi juga memberitahu pihaknya sedang berusaha untuk terus mempromosikan saingan liga amatur yang dilihat mempunyai potensi berikutan semakin ramai peminat bola sepak tempatan sudah mula memberi perhatian kepada perlawanan membabitkan pasukan di Liga M3.