Baru berusia 21 tapi Adam Sariman sudah ada Sijil Scouting Level 1 dari The FA

5,279

Di sebalik kebanyakan remaja yang bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak, berbeza pula dengan pemuda berusia 21 tahun, Adam Sariman yang lebih berminat ke arah statistik dan scouting.

Minat yang mendalam dalam dunia scouting telah mendorongnya untuk meneruskan minatnya secara ‘sah’ dengan mengikuti kursus scouting dan kini beliau merupakan pemegang Sijil Scouting Level 1 dari The FA.


“Saya mula dengan scouting ni pada penghujung tahun 2021 yang mana saya bermula dengan menulis artikel untuk Scout Network Belgium. Sejak dari itu minat saya semakin dalam dalam dunia scouting.

Ketika ini ada peluang untuk saya buat kursus bagi mendapatkan Sijil Scouting dari The FA dan Alhamdulillah saya kini sudah mempunyai Sijil Scouting Level 1 The FA,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bercerita lanjut mengenai artikel yang ditulis untuk Scout Network Belgium, beliau mula menulis mengenai pemain Malaysia iaitu Luqman Hakim yang bermain di Liga Belgium bersama kelab K.V. Kortrijk.

Menurut Adam, Luqman mempunyai ciri-ciri seorang pemain yang sangat bagus bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar.

Selepas Luqman, beliau juga mula menulis artikel mengenai pemain sayap muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan juga Hadi Fayyadh.

Adam juga memberitahu bahawa beliau ada bekerjasama dengan beberapa kelab luar untuk menyediakan profil pemain tempatan untuk dihantar kepada kelab yang berminat.

“Saya sekarang ini akan melihat pemain yang berpotensi dan saya akan menulis mengenai pemain itu berdasarkan penelitian saya terhadap semua aspek mengenai pemain itu sebelum membuat recommendation yang dihantar ke pasukan scouting lain yang akan melakukan penilaian dari aspek lain pula.”

Beliau tidak akan membataskan laporan scouting-nya terhadap pemain Malaysia sahaja tetapi buat masa ini beliau mahu bantu pemain tempatan yang mempunyai potensi besar.

Malah Adam juga menyarankan agar pemain-pemain muda tempatan tidak cepat berasa selesa sebaliknya cuba keluar dari zon selesa seperti bermain di liga luar negara.