Piala Dunia atau pelajaran, mana lebih penting?

6,344

Pemain hoki negara, Syed Syafiq Syed Cholan berkemungkinan besar tidak akan menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Syed Syafiq yang baru sahaja meraih gelaran naib juara pada kejohanan Piala Asia 2022 tempoh hari berkata beliau mahu berehat panjang selepas beraksi pada kejohanan itu.


Beliau mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang Pembangunan Sains dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Master.

Perkara itu mendapat reaksi berbeza daripada peminat sukan tanah air, dengan ada yang memuji keputusannya mengutamakan pelajaran manakala selebihnya merasakan bahawa peluang untuk beraksi di Piala Dunia tidak harus dilepaskan memandangkan kejohanan itu hanya tiba empat tahun sekali.

Jarang sekali seseorang pemain, tidak kira apa-apa sukan sekalipun, sanggup melepaskan peluang untuk beraksi di Piala Dunia.

Ini juga boleh jadi peluang terakhir untuknya beraksi di Piala Dunia memandangkan beliau kini sudah berusia 27 tahun dan ketika edisi seterusnya pada 2026, beliau akan menjengah usia 31 dan mungkin peluang sama tidak akan tiba lagi.

Walau apa pun keputusan yang dilakukannya ia harus dihormati kerana beliau semestinya sudah berfikir masak-masak dan tahu apa yang terbaik buat dirinya.

Syed Syafiq juga bukanlah calang-calang pelajar, sebelum ini beliau pernah dianugerahkan Pingat Razlan Putra iaitu anugerah untuk pelajar yang cemerlang dalam sukan dan akademik di UPM.

Malah, ramai pemain sekarang dan bekas pemain hoki negara yang lain juga adalah dalam kalangan yang berpelajaran tinggi contohnya Sukri Mutalib, Fitri Saari, Razie Rahim dan ramai lagi.

Pada masa yang sama, ia adalah sesuatu yang positif untuk melihat golongan atlet kini sudah ramai yang peka akan kepentingan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi seperti diploma dan ijazah.

Keputusan Syed Syafiq yang merupakan salah satu pemain penting buat negara itu sudah tentu satu kehilangan buat Speedy Tigers dalam persediaan ke Piala Dunia, tetapi Malaysia tidak ketandusan bakat dalam sukan hoki, jadi pasti ada pemain lain yang boleh menggantikan beliau.

Lagipun masih banyak lagi kejohanan yang boleh disertainya pada masa hadapan, jadi peminat hoki negara tidak perlu kecewa jika tidak dapat melihat aksinya di pentas Piala Dunia.