Ini masa terbaik untuk kaut ‘ubi baru’
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah mengumumkan penganjuran sebuah inisiatif yang dinamakan sebagai K-League.
Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha yang dijalankan oleh persatuan negeri bagi memfokuskan kepada keseluruhan aspek pembangunan bola sepak.
Kejohanan seperti ini turut dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dengan pengenalan Liga Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JFL) yang akan disertai oleh 16 pasukan yang merangkumi kesemua daerah di negeri tersebut.
Penganjuran pertandingan seperti ini mampu menjadi medium kepada pemain-pemain amatur berbakat terutama sekali remaja untuk mempamerkan kemampuan mereka.
Liga seperti ini telah sekian lama tidak dianjurkan dan pihak bertanggungjawab perlu mengambil inisiatif ini dengan lebih serius berbanding hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Ini juga mampu menjadi peluang untuk pasukan tempatan terutamanya pasukan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mendapatkan muka-muka baru yang mampu mewakili pasukan mereka.
Sebelum ini, KDA pernah dianggap sebagai sebuah kilang yang sentiasa menghasilkan pemain-pemain muda berkualiti seperti Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Abdul Halim Shaari dan ramai lagi.
Namun sejak kebelakangan ini, reputasi negeri ini sebagai lubuk pemain muda semakin tenggelam tatkala pencapaian mengecewakan pasukan mereka di saingan seperti Piala Presiden dan Piala Belia.
Perkara ini bertambah teruk apabila prestasi pasukan utama KDA di Liga Super turut terumbang-ambing.
Peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kesemua pasukan Liga Malaysia dalam usaha mendapatkan pemain tempatan yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Usaha yang diambil oleh pengurusan KFA dan PBNJ perlulah diraikan sebagai contoh terbaik dalam menjadi pemangkin kemajuan sukan ini di peringkat akar umbi.
Semoga penganjuran pertandingan ini akan diteruskan saban tahun serta mampu melahirkan bakat bola sepak baru yang mampu mewarnai arena bola sepak negara.