Pogba khianati pengorbanan United, peminat?
Pengumuman Manchester United mengenai bintang tengahnya, Paul Pogba yang meninggalkan pasukan itu setelah kontraknya tamat bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Malah perkara itu sudah lama diduga selepas beberapa kali perbincangan mengenai lanjutan kontraknya gagal mencapai kata sepakat.
Selain itu, para peminat juga ramai yang sudah tidak berkenan dengan pemain Perancis itu kerana persembahannya yang tidak konsisten dan sikap ‘diva’nya.
Beliau berpindah dari Juventus pada 2016 dengan yuran perpindahan sebanyak £89.3 juta (RM490.9 juta), rekod perpindahan pemain tertinggi ketika itu.
United juga sanggup menunaikan permintaan gaji mingguannya yang tinggi sebanyak £290,000 (RM1.59 juta) untuk membawanya ke Old Trafford.
Jumlah itu adalah hampir tiga kali ganda gaji terakhirnya ketika berada di Juventus iaitu sebanyak £108,000 (RM593,759).
Walaupun pada awal ketibaannya beliau menunjukkan permainan yang baik dan menjadi salah satu pemain kesukaan peminat, prestasinya mula tidak menentu menyebabkan para peminat mula berpaling tadah.
Rata-rata peminat United mungkin lega dengan pemergiannya, tetapi apa yang pasti Pogba seakan-akan mengkhianati pengorbanan kelab yang sudah menghabiskan banyak wang untuknya.
Ini kerana, United tidak akan mendapat walau sesen daripada pemergiannya itu walaupun beliau sedang berada di puncak kariernya.
Setidak-tidaknya, apa yang boleh dilakukan oleh Pogba adalah menandatangani lanjutan kontrak selama dua atau tiga tahun supaya United boleh mendapatkan hasil dengan menjualnya ke kelab lain.
Menurut laporan media, Juventus berminat untuk mendapatkan semula pemain itu dengan menawarkan gaji mingguan yang jauh lebih rendah sebanyak £135,000 (RM742,199).
Sekiranya beliau menerima tawaran itu, ia satu penghinaan buat United kerana menunjukkan bahawa beliau tidak kisah bermain dengan gaji yang lebih rendah, asalkan dapat ‘berambus’ dari Old Trafford.
Ia juga pastinya satu tamparan buat peminat-peminat setia yang sentiasa berada di belakangnya ketika prestasinya tidak menentu.
Ini juga menunjukkan bahawa beliau memang sudah tawar hati bermain untuk kelab yang menaikkan kariernya itu.