Saya yakin tempat dalam kesebelasan utama kerana KPG ada ‘role’ besar buat saya – Dion Cools

1,695

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools yakin dengan tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula minggu depan.

Menurut Cools, ketua jurulatih Kim Pan-gon meletakan tanggungjawab kepadanya untuk menggalas peranan yang besar dalam pasukan tetapi menegaskan tetap akan memberikan 100 peratus dalam latihan.


“Semestinya saya yakin dengan tempat saya dalam skuad dan saya menjangkakan diri saya berada dalam kesebelasan utama ketika kejohanan berlangsung nanti.

Namun setiap orang perlu bersaing untuk tempat di dalam pasukan ini, jika anda memberi persembahan yang baik, anda tidak perlu risau dengan kedudukan dalam skuad,”

katanya.

Tambahnya, beliau bersedia diturunkan di mana-mana posisi yang dirasakan sesuai tetapi lebih gemar sekiranya diletakkan di bahagian pertahanan tengah.

Beliau juga berkata tidak mempunyai masalah sekiranya jurulatih mahu menggunakannya sebagai pemain tengah kerana pernah bermain di posisi itu sebelum ini.

Pada masa yang sama, beliau bertekad tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan ketika kejohanan Piala AFF tahun lalu dan mahu menunjukkan contoh yang baik dalam pasukan.

“Saya terlalu paksa permainan ketika itu dan melakukan beberapa kesalahan, sebagai salah seorang pemain yang paling senior dalam pasukan, saya harus tunjukkan contoh dan saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi kali ini.

Sudah tentu ia adalah satu pengajaran yang baik buat saya dan saya merasakan mampu membantu sebanyak mungkin buat pasukan.

Ini juga adalah kali pertama saya menyertai pasukan dengan sejak awal, saya rasa ia adalah sesuatu yang baik buat diri saya, pasukan serta jurulatih kerana dapat merangka pelan yang lebih tersusun.”

Sementara itu, beliau tidak mahu terbuai dengan dua kemenangan ketika persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong kerana menganggap kedua-dua perlawanan itu bukan cabaran sebenar.

Beliau yang menyambut hari lahir ke-26 hari ini berkata sekiranya pasukan berjaya melangkah ke peringkat seterusnya, ia bakal menjadi hadiah yang paling bermakna buatnya.

Dalam pada itu, Pan-gon telah mengumumkan senarai 23 pemain yang akan membawa cabaran negara pada kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.

Mereka adalah Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid, Syihan Azmi, Shahrul Saad, Akhyar Rashid, Khuzaimi Piee, Corbin Ong, Mohamadou Sumareh, Faisal Halim, Syamer Kutty, Matthew Davies, Dominic Tan, Nazmi Faiz, Guilherme De Paula, Nor Azam Azih, Safiq Rahim, Syafiq Ahmad, Dion Cools, Arif Aiman, Darren Lok, Junior Eldstal, Safawi Rasid dan V.Ruventhiran.

Pemain-pemain yang digugurkan daripada senarai awal adalah Kogileswaran Raj, Afiq Fazail, Norshahrul Idlan Talaha, Liridon Krasniqi dan Kalamullah Al-Hafiz.