Yakin boleh menang tapi enggan pandang rendah pada pasukan lawan – Rovshengeldy Khalmammedov
Pemain tengah Turkmenistan, Rovshengeldy Khalmammedov enggan mendadik dada atau memandang rendah terhadap kemampuan pasukan lawan walaupun yakin pasukannya mampu meraih kemenangan dalam semua perlawanan kumpulan.
Turkmenistan yang berada dalam Kumpulan E untuk saingan Kelayakan Piala Asia 2023 merupakan pasukan kedua terkuat dibelakang Bahrain berdasarkan ranking dunia.
“Kami tidak mahu memandang rendah kepada pasukan lain kerana ia adalah satu pertandingan. Kita seharusnya menghormati setiap pasukan lawan dan kami akan fokus pada perlawanan pertama kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam perlawanan pertama pada 8 Jun ini, Turkmenistan akan menentang tuan rumah Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menurut Khalmammedov, beliau yakin mereka mampu meraih kemenangan kerana mempunyai kelebihan dari fizikal dan ampuh.
“Kami percaya kami mempunyai kelebihan dari segi fizikal yang agak kuat. Kami mempunyai barisan pertahanan yang mampu bertahan dengan mantap.
Dan kami juga mempunyai pemain penyerang yang pantas. Kami pasti mampu memperolehi sesuatu.”
Ditanya samada beliau ada mengikuti perkembangan pasukan kebangsaan Malaysia atau ada menonton perlawanan persahabatan membabitkan pasukan tuan rumah baru-baru ini, Khalmammedov berkata beliau tidak sempat melihat perlawanan tersebut kerana fokus pada persiapan pasukan.
Dalam pada itu, beliau turut berkata beliau dan rakan sepasukan tidak gentar dengan sorakan pemain ke-12 Harimau Malaya kerana mereka sudah biasa dengan situasi itu.
“Tiada apa yang perlu digentarkan kerana kami pernah hadapinya. Kami tetap mahu menang kerana kami tidak punya pilihan lain. Kami percaya semaunya akan baik untuk kami!”