Sudah tiba masa untuk manfaatkan kepakaran tempatan yang ada
Usaha mendapatkan pengganti bagi jawatan ketua jurulatih pasukan beregu campuran negara masih menemui jalan buntu selepas kem negara kehilangan pengendali dari Indonesia, Paulus Firman.
Beliau telah memilih untuk tidak menyambung kontrak dan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1 Mei lalu untuk kembali bersama keluarga.
Perlu diakui, sukar untuk mencari seseorang yang mampu mengekalkan momentum yang dilakukan oleh Paulus dalam tempoh yang singkat, tetapi tindakan segera perlu diambil oleh BAM untuk mengelakkan tekanan yang besar kepada pembantu jurulatih, Teo Kok Siang.
Bekas jurulatih beregu wanita negara, Chin Eei Hui disebut sebagai antara pengganti yang layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tatkala sudah genap sebulan negara ketiadaan ketua jurulatih bagi beregu campuran.
Tambahan pula, bekas pemain beregu tersebut turut mengakui keinginan beliau untuk kembali menabur bakti bersama pasukan negara sebagai jurulatih.
Walaupun perkara tersebut masih belum mendapat kata putus dari BAM, tetapi situasi ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk jurulatih tempatan menyinar bersama pasukan negara.
Malaysia mempunyai sejumlah besar bekas pemain yang mempunyai kredibiliti dan berkebolehan sebagai jurulatih.
Penghijrahan nama besar seperti Tan Kim Her yang sedang membimbing gandingan utama Jepun, Takuhori Hoki dan Yugo Kobayashi dilihat sebagai satu kerugian kepada negara.
Selain itu, semakin ramai bekas pemain negara yang dipancing untuk menjadi jurulatih di luar negara seperti bekas pemain beregu lelaki Yap Kim Hock bersama Singapura dan Rosman Razak yang sedang melatih pasukan Filipina.
Ini menunjukkan kualiti kejurulatihan yang sedia ada dalam kalangan bekas pemain negara dan BAM perlu mengambil tindakan segera untuk memanfaatkan situasi ini.
Tidak dapat dinafikan kredibiliti jurulatih Indonesia dalam membimbing pasukan negara termasuk kejayaan Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky membimbing gandingan hebat seperti Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat.
Namun, sudah tiba masanya untuk kita kembali memberi peluang kepada jurulatih tempatan memainkan peranan penting dalam barisan kejurulatihan negara.
Kemasukan Eei Hui mungkin menjadi permulaan kepada era kegemilangan jurulatih tempatan.
Gandingan beliau bersama Wong Pei Tty merupakan antara pasangan beregu wanita terbaik yang pernah dimiliki oleh Malaysia.
Eei Hui kini sedang giat melatih pasangan beregu profesional negara termasuk Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh V Shem-Low Juan Shen dan Tan Wee Kiong-Tan Kian Meng.
BAM perlu segera memilih jurulatih yang berkaliber untuk mengisi segala kekosongan yang ditinggalkan oleh beberapa orang jurulatih.
Sebelum ini, pasukan negara turut kehilangan bekas jurulatih beregu, Flandy Limpele di samping Indra Wijaya yang memilih keluar dari BAM untuk melatih Lee Zi Jia.