Kondisi padang SNBJ tidak berada dalam keadaan terbaik – Ketua jurulatih Bangladesh

11,645

Ketua jurulatih pasukan Bangladesh, Javier Cabrera memberitahu beliau kurang berpuas hati dengan kondisi padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas pasukannya menjalani latihan di venue perlawanan semalam.

“Realitinya kami menjangkakan padang berkualiti tapi sebaliknya kami menghadapi isu dengan kedua-dua kualiti padang latihan.

Anda (Malaysia) mempunyai stadium yang cukup menakjubkan dan cantik tetapi padang tidak berada dalam keadaan terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bangladesh akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 mereka Rabu ini menentang Bahrain pada perlawanan di sebelah petang.


Dalam pada itu, menyentuh mengenai perlawanan pertama menentang Bahrain, pengendali Sepanyol itu memaklumkan bahawa pemain-pemainnya berada dalam keadaan yang sangat positif dan teruja untuk perlawanan pembukaan kumpulan.

Walaupun kedudukan ranking semasa menyaksikan Bangladesh berada di belakang ketiga-tiga pasukan lain iaitu Bahrain, Turkmenistan dan Malaysia, tetapi beliau berkata pemainnya akan memberikan saingan sengit buat pasukan lawan.

“Bagi kami ia adalah satu peluang untuk berada dalam kumpulan ini bermain dengan pasukan yang ranking lebih tinggi sekaligus dapat beri peluang kepada kami untuk bersaing dengan lebih baik lagi.”

Sementara itu, tonggak tengah Jamal Bhuyan pula berkata, persiapan pasukan berjalan dengan lancar dan mereka teruja untuk turun beraksi esok.

Mengakui bakal berdepan tugas sukar dalam setiap perlawanan, namun beliau yakin mereka mampu buat kejutan.

“Kami tahu ia adalah perlawanan yang sukar, tetapi bagus untuk kami jika pihak lawan pandang rendah kerana kami akan melakukan kejutan.

Semua pemain termasuk saya sangat bermotivasi untuk perlawanan menentang Bahrain esok.”