Tiada wakil perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Dunia, BAM harus lakukan sesuatu

228

Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung pada Ogos depan menyaksikan hanya dua wakil negara yang bakal bersaing dalam acara perseorangan lelaki dan tiga wakil dalam acara beregu lelaki.

Mereka ialah Lee Zii Jia dan Liew Daren untuk perseorangan lelaki manakala beregu lelaki pula menampilkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong.


Jumlah itu berkurangan berbanding pada edisi sebelumnya di mana tiga pemain perseorangan dan empat beregu lelaki menggalas cabaran negara di Huelva, Sepanyol.

Ini adalah satu perkara yang harus diberi perhatian kerana menunjukkan bahawa arena badminton negara semakin merosot.

Apa yang lebih menyedihkan ialah, tiada seorang pun wakil dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang bakal membawa cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan itu nanti.

Secara tidak langsung, ia memperlihatkan bahawa negara, khususnya BAM ketandusan pemain berbakat lain yang boleh bersaing di peringkat tertinggi.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sendiri menggesa BAM melakukan sesuatu jika mahu melihat negara memberi cabaran di Sukan Olimpik 2024.

Beliau meluahkan kebimbangannya mengenai persembahan buruk pemain-pemain negara di beberapa kejohanan antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Menurutnya juga, para pemain negara yang bernaung dengan BAM seperti Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao nampak tidak yakin apabila bermain di pentas antarabangsa.

Kritikan yang diberikan Chong Wei sememangnya wajar kerana berdasarkan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketika ini, pemain perseorangan lelaki utama BAM iaitu Tze Yong berada di ranking ke-48 diikuti Jun Hao di ranking ke-128.

Perkara ini harus diteliti oleh Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) BAM, Wong Choong Hann mengenai standard pemain-pemain perseorangan lelaki BAM ketika ini, terutama selepas kedua-dua pemain itu gagal menyumbangkan mata ketika pasukan negara tunduk 3-2 kepada India dalam kejohanan Piala Thomas bulan lalu.

Daren juga turut menyuarakan perkara sama dengan menegaskan bahawa pemain muda negara harus bekerja dengan lebih keras untuk mencapai tahap pemain muda negara lain.

Jika dilihat kuasa besar lain dalam sukan badminton seperti China, Indonesia, Jepun, Denmark dan India, kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya dua pemain dalam kelompok ranking 20 teratas BWF.

BAM harus memandang serius perkara ini kerana ia akan memberi tekanan kepada Zii Jia setiap kali turun mewakili negara seperti era Chong Wei memandangkan semua akan bergantung kepadanya seorang.

Selain itu ia juga penting dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas di mana tiga pemain perseorangan menjadi harapan untuk menyumbang mata terutama mata pertama.

Mungkinkah ini masanya untuk membawa Chong Wei ke dalam barisan pengurusan mahupun kejurulatihan BAM?