Kedah Darul Aman FC rancak buat persiapan, KL City FC kekalkan pemain sedia ada untuk Piala AFC 2022

1,850

Bulan Jun menjadi bulan paling sibuk buat peminat bola sepak tanah air kerana banyak perlawanan membabitkan skuad kebangsaan dan juga kelab bola sepak yang mewakili Malaysia di pentas Asia.

Ketika semua penyokong memberi tumpuan kepada skuad Harimau Malaya yang akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 bermula hari ini, dua kelab terbesar negara iaitu Kedah Darul Aman FC dan KL City FC sedang membuat persiapan untuk menghadapi saingan Piala AFC 2022 yang akan bermula pada 24 Jun ini.


Pasukan Kedah tidak menunggu lama untuk membuat persiapan apabila mereka terus bekerja keras walaupun saingan Liga Super berehat selama sebulan.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak sebelum ini dikritik hebat apabila mempamerkan aksi hambar dalam empat perlawanan terakhir sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong Sang Kenari berikutan pasukan itu akan beraksi di Piala AFC.

Menyedari terdapat ketempangan dalam skuad, pengendali dari Singapura bersama pengurusan pasukan tidak menunggu lama untuk membuat perubahan terutamanya dari segi kemasukan pemain baru berikutan beberapa pemain termasuk import yang tidak dapat beraksi dengan Kedah.

Kedah dilaporkan akan membawa masuk lima pemain baru dan mereka sudah pun menandatangani pemain tengah dari Melaka United FC iaitu Mohd Akmal Md Zahir.

Malah skuad Hijau Kuning juga dikatakan sedang dalam peringkat akhir mengikat seorang lagi pemain tengah dari Jordan iaitu Ahmed Israiwah yang juga merupakan rakan sepasukan penyerang utama Kedah ketika ini iaitu Ronald Ngah Wanja ketika beraksi bersama Al-Salt SC.

Bagaimanapun tiga lagi pemain baru yang akan dibawa masuk masih lagi belum diketahui buat masa ini, tetapi penyokong setia tidak perlu menunggu lama kerana kesemua pemain baru akan diumumkan dalam masa terdekat ini sebelum mereka berangkat ke Bali, Indonesia.

Kedah juga kini sudah mula menjalani latihan menggunakan bola rasmi kejohanan Piala AFC untuk menyesuaikan diri bola tersebut supaya ia tidak menganggu gaya permainan pasukan itu.

Malah mereka juga sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan sebagai persiapan untuk mengharungi saingan Kumpulan G bersama Bali United FC, Kaya FC -Iloilo dan Visakha FC.

Namun persoalan yang menjadi tanda tanya penyokong adalah, adakah sempat untuk Aidil merangka strategi dan taktikal ampuh dengan lima pemain baru? Mampukah Kedah mengulangi kejayaan seperti tahun 2008? Sama-sama kita tunggu.

Sementara itu, sebuah lagi pasukan iaitu KL City FC juga akan bersaing dalam Piala AFC yang mana mereka lebih bertuah apabila dipilih untuk menjadi tuan rumah untuk saingan kumpulan sekaligus memberi mereka sedikit kelebihan.

Pihak pengurusan KL City kini sedang sibuk mempersiapkan stadium bagi memastikan venue perlawanan menepati kriteria ketat yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), antaranya mewujudkan kawasan mixed zone dan menaik taraf fasiliti.

Jika Kedah dilihat lebih rancak membuat persiapan, pasukan KL City pula dilihat seperti ‘menyembunyikan’ persiapan mereka apabila tidak kerap memberi perkembangan semasa kepada peminat di laman sosial rasmi mereka.

Bagaimanapun ia tidak bermakna skuad kendalian Bojan Hodak tidak membuat persiapan, sebaliknya kesemua pemain sudah pun mula turun menjalani latihan sejak awal bulan lalu.

Yakin dengan pemain sedia ada, Bojan tidak mengambil peluang jendela perpindahan kedua ketika ini untuk membawa masuk pemain baru untuk memperkuatkan skuadnya lagi sebaliknya memberi kepercayaan 100 peratus kepada pemain sedia ada.

Berbeza dengan Kedah, KL City hanya bermain dua perlawanan sahaja berikutan hanya tiga pasukan berada dalam Kumpulan H iaitu tuan rumah bersama PSM Makassar dan Tampines Rovers.

Mungkin ada segelintir yang mengatakan kumpulan ini mudah untuk KL City layak ke pusingan kalah mati, tetapi ia juga boleh menjadi satu cabaran kerana hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak, tidak seperti kumpulan lain yang dua pasukan teratas akan layak.

KL City perlu manfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri sebagai kelebihan untuk memastikan mereka berjaya meraih kemenangan sekaligus mencipta sejarah baru buat bola sepak Kuala Lumpur.

Apa-apa pun kita sebagai penyokong bola sepak tanah air tidak kira dari negeri mana perlu bersatu hati dalam memberi sokongan kepada Kedah dan KL City di saingan Piala AFC kerana kedua-dua pasukan ini membawa nama Malaysia di pentas Asia.