Jangan pentingkan diri, main ‘tangkap muat’ ambil pemain naturalisasi

4,996

Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Alistair Edwards telah menolak kemungkinan kemasukan semula bekas tonggak mereka, Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.

Ini kerana, pemain tersebut tidak berada di dalam program naturalisasi kebangsaan dan mengikut undang-undang yang diletakkan oleh Malaysia Football League (MFL), beliau hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan lima tahun selepas tarikh akhir mendapat kerakyatan.


Tambahan pula, umur Cabrera yang akan mencecah 38 tahun selepas lima tahun lagi menjadi antara faktor utama proses ini tidak diteruskan.

Perkara ini menjadi persoalan daripada segelintir peminat yang merasakan pemain itu telah mencapai syarat untuk menjadi pemain naturalisasi seperti yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA telah meletakkan syarat untuk seseorang pemain yang ingin mewakili negara lain, perlulah menetap di negara tersebut sekurang-kurangnya lima tahun atau lebih.

Namun, tindakan yang diambil JDT tampak masuk akal selaras dengan matlamat sebenar program naturalisasi negara diperkenalkan.

Pendekatan JDT ini perlu dicontohi oleh semua pasukan liga Malaysia demi memastikan usaha yang ingin dilakukan melalui program ini tidak menjadi usaha yang sia-sia.

Sebelum ini, pasukan Sri Pahang FC dilaporkan sedang melengkapkan proses naturalisasi pemain bintang mereka, Lee Tuck dan Sergio Aguero.

2022 akan menjadi tahun kelima untuk kedua-dua pemain yang mula beraksi di Liga Malaysia pada tahun 2017.

Akan tetapi, ramai peminat berpendapat bahawa perkara ini akan merugikan negara ditambah dengan usia Lee Tuck yang kini sudah mencecah 33 tahun.

Perkara ini hanya membuatkan pasukan Sri Pahang kelihatan lebih mementingkan kepentingan pasukan dan tersasar jauh daripada matlamat sebenar program naturalisasi ini.  

Hal ini kerana, program ini merupakan sebuah pelan yang diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian pasukan bola sepak kebangsaan untuk jangka masa yang pendek.  

Justeru itu, pengambilan pemain-pemain naturalisasi yang telah mencecah usia 30-an tidak akan mampu memberi impak yang diinginkan kepada kemajuan bola sepak negara.

Ia dapat dilihat seperti kehadiran pemain naturalisasi yang berumur seperti Guilherme de Paula gagal memberikan kesan terhadap aksi Harimau Malaya.

Lebih buruk lagi, terdapat beberapa pemain yang menolak panggilan skuad kebangsaan setelah diberikan kerakyatan.

Meskipun pasukan diberikan kebenaran untuk menguruskan proses naturalisasi pemain, pihak pengurusan pasukan perlu melakukan pertimbangan yang sewajarnya terlebih dahulu.

Jangan hanya ‘tangkap muat’ dan sekadar melihat kepada keuntungan segera di sebelah pihak sahaja.

Cabrera yang kini memegang kerakyatan Iraq mula bermain bersama pasukan JDT pada tahun 2017 sebelum dilepaskan pada Disember 2021.

Sehingga kini, masih belum ada kelab dari Liga Malaysia yang menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat pemain sayap veteran tersebut.