Lepaskan Mior Dani ke Sri Pahang FC bukti Zamsaham penuh visi, matlamat buat Kelantan FC
Pemain tengah Kelantan FC, Mior Dani Armin sah menyertai Sri Pahang FC secara pinjaman sehingga hujung musim ini.
Mungkin ada pihak yang melihat ia satu tindakan mengejutkan daripada Kelantan memandangkan Mior adalah salah satu pemain penting buat pasukan itu musim ini.
Tambahan pula, kelab itu kini sedang mendahului carta Liga Perdana dan berada di laluan yang tepat untuk bergelar juara, seterusnya layak ke Liga Super musim depan.
Tetapi bagi pemilik The Red Warriors, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, beliau melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif dan akan memberi manfaat kepada kelab itu.
Beliau juga tidak kisah jika pemain itu berhasrat untuk berhijrah terus ke Sri Pahang kerana menganggap ia sebagai sebahagian daripada bisnes bola sepak.
Jika dilihat dari sudut positif, apa yang dikatakan oleh Zamsaham mengenai pinjaman pemain itu adalah benar.
Pertama, ia boleh menjadi salah satu persediaan buat pemain itu dan juga pasukan sekiranya mereka berjaya ke Liga Super musim depan.
Dengan pengalaman yang diraih beberapa bulan bersama Sri Pahang di Liga Super, sudah tentu Mior akan kembali menjadi pemain yang lebih baik selepas ini.
Selain itu, ia juga akan memberi peluang buat pemain-pemain lain terutama pemain muda untuk melakukan breakthrough dan peluang untuk mereka tonjolkan bakat mereka.
Dengan lebih ramai pemain baru dilahirkan, ia akan memberi lebih banyak pilihan kepada ketua jurulatih sekaligus membuatkan pasukan itu lebih ampuh dan bersedia sekiranya ada kecederaan membabitkan pemain utama.
Ia juga bukanlah satu kerugian buat Kelantan sekiranya Mior berhasrat untuk meniggalkan kelab itu pada penghujung musim ini kerana mereka pastinya akan membuat keuntungan daripada perpindahan itu, seperti yang diperkatakan oleh Zamsaham.
Lagipun, bola sepak adalah permainan berpasukan dan tiada pemain yang lebih besar dari kelab, sekiranya seorang pemain meninggalkan pasukan, pasti akan ada pemain lain yang mampu jadi pengganti.
Pada masa yang sama, ketenangan dan kematangan Zamsaham dalam menjawab segala persoalan mengenai pinjaman ini juga adalah sesuatu yang patut dicontohi oleh pemilik kelab lain.
Ia menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemilik yang memiliki visi dan matlamat jauh buat pasukannya walaupun kehilangan salah seorang tonggak utama pasukan.
Selain itu, beliau juga turut faham mengenai kepentingan bermain di liga utama buat perkembangan seseorang pemain, justeru tidak takut untuk melepaskannya.
Apa yang pasti, pinjaman ini adalah satu tindakan yang bijak oleh Kelantan dan pastinya memberi banyak manfaat buat pemain dan kelab itu sendiri.